Parti Politik Diberi Amaran Tidak Rosak Bendera, Bahan Kempen PRU-13

Diterbitkan: Jumaat, 26 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LEDANG: Parti-parti politik dan penyokong diberi amaran agar tidak melakukan perbuatan khianat merosakkan bendera atau bahan-bahan kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang cuba mencetuskan provokasi dan huru-hara.

Beliau turut meminta semua pihak mematuhi peraturan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Mana-mana orang awam atau kumpulan penyokong calon tertentu yang terlibat dalam proses PRU-13 diminta patuhi arahan pihak berkuasa. Kita mahu pastikan keamanan dan keselamatan di Ledang sentiasa terjamin.

"Jangan cuba cetuskan kekecohan. Jangan rosakkan poster, bendera atau apa sahaja yang berkaitan dengan PRU-13. Kita mahu semua pihak mengikuti segala arahan dan undang-undang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, di sini, Jumaat.

Sehingga kini sudah lima kes membabitkan beberapa batang bendera parti dicabut di daerah ini termasuk satu daripadanya dilakukan orang kurang siuman.

Sementara itu, berhubung permit pula, Harun menasihatkan pihak penganjur atau calon supaya memohonnya lebih awal bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Katanya, sekiranya masih ada yang berceramah tanpa permit, mereka yang ingkar dan enggan mematuhi peraturan itu akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pilihan Raya 1958 termasuk pihak yang mengganggu gugat keselamatan.

Dalam pada itu, kata Harun, pihaknya akan melakukan memantau setiap ceramah yang dilakukan dan menasihatkan semua pihak supaya tidak menyentuh sensiviti kaum atau agama dalam kempen-kempen mereka.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan