Muhyiddin Seru Rakyat Beri Mandat Kepada PM

Diterbitkan: Jumaat, 26 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NILAI: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat menggesa rakyat agar memberikan mandat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus memimpin negara selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata Najib seorang yang cukup bertenaga, mempunyai kemahiran dalam mentadbir negara serta tahu akan apa masalah rakyat dan telah memperkenal dan melaksanakan pelbagai dasar serta program berteraskan konsep 1Malaysia untuk manfaat semua.

"PM (Najib) inilah pertama kali beliau minta mandat (melalui pilihan raya)...(kerana sebelum ini beliau menyambung mandat) Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri pada tahun (PRU) 2008.

"Kita lihat banyak program telah dilaksanakan seperti BR1M dan pelbagai lagi...semua ini ada kesan besar kepada rakyat dan kita mahu supaya rakyat memberikan peluang kepada beliau untuk menerajui Malaysia untuk lima tahun akan datang," kata Muhyiddin sambil disambut tepukan gemuruh mereka yang hadir pada majlis sarapan pagi bersama masyarakat di Mantin di sini Jumaat.

Timbalan perdana menteri bersarapan pagi dengan kira-kira 500 orang warga setempat yang terdiri daripada pelbagi kaum.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai Gan Chee Biow dan calon kerusi parlimen Seremban Datuk Dr Yeow Chai Thiam.

Muhyiddin berkata dalam tempoh kritikal menjelang beberapa hari lagi hari pengundian pada 5 Mei, mandat penuh yang diberikan rakyat amat penting kerana ia akan menjadi penentu masa hadapan negara sama ada mencapai status negara maju atau berhadapan dengan masalah.

Ini kerana, pencapaian negara ketika ini di bawah pimpinan BN cukup baik, aman apabila rakyat berbilang kaum hidup bersatu-padu, prestasi ekonomi berkembang dengan baik serta kewujudan peluang pekerjaan yang begitu meluas, katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata dengan kepercayaan rakyat yang diterjemahkan menerusi sokongan pengundian kepada Barisan Nasional (BN), akan dapat meneruskan usaha dan dasar-dasar yang baik yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini, supaya tidak ada mana-mana rakyat pun terpinggir.

"Sebab itu, BN mengeluarkan manifesto dan saya harap tuan puan baca manifesto itu kerana ia aku janji PM dan parti BN. Kalau kita terpilih membentuk kerajaan, kita akan terus melaksanakannya. Tidak seperti pembangkang, janji mereka tidak ditunaikan dan tidak dilaksanakan," katanya.

Katanya manifesto pakatan pembangkang (PR) yang menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala amat membimbangkan jika rakyat terpedaya kerana ia hanya akan memusnahkan ekonomi dan negara.

Muhyiddin juga berkata PR tidak mempunyai pengalaman dalam mentadbir negara dan senario telah memperlihatkan negeri-negeri di bawah pimpinan PR kini berhadapan dengan pelbagai masalah.

Ini bukanlah berdasarkan kepada cakap bohong, sombong tetapi mengingatkan rakyat agar bijak membuat keputusan kerana PR bukan sahaja tidak menepati janji malahan tidak sepakat dalam perjuangan sebagai satu pakatan.

"Ada hendak buat negara Islam dan ada yang hendak buat hudud, (tetapi) ada bantahan. Kalau seorang pun tak sepakat saya takut kalau mereka boleh bentuk kerajaan akhirnya parti ini akan berpecah. Saya nak buat ramalan bahawa PAS suatu hari nanti akan keluar daripada pakatan pembangkang, (maka) akan tumbang kerajaan," katanya.

Sementara itu, penduduk yang ditemui rata-rata berasa teruja dan gembira apabila dapat berpeluang bersarapan dan melihat secara lebih dekat pemimpin nombor dua negara itu.

Seorang suri rumah, Norhazati Mat Jidan, 35, sanggup keluar rumah awal pagi untuk memastikan beliau tidak terlepas menghadiri majlis itu.

Beliau tersentuh dengan permintaan Muhyiddin supaya rakyat memberi mandat kepada perdana menteri sedangkan sememangnya rakyat patut memberikan mandat itu atas jasa Najib yang banyak membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Turut berpandangan serupa, pemandu lori M. Sundararaju, 51, berkata beliau akan memberikan sokongan padu kepada Najib dan BN kerana hanya parti itu yang mengambil berat kebajikan kaum India termasuk dalam perihal berkaitan pelajaran.

"Najib banyak beri bantuan kepada kaum India. Saya rasa lebih terjamin sekiranya BN memerintah," katanya.

Bagi Tay Car Men, pelajar kolej berusia 18 tahun, melihat Najib yang tidak kenal erti penah lelah menemui rakyat, memberikan keyakinan kepada beliau bahawa perdana menteri merupakan pemimpin di hati masyarakat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan