Isu Lynas Dimainkan Pembangkang Tidak Jejaskan Pelaburan - PM

Diterbitkan: Jumaat, 26 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Isu operasi kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, dekat sini, yang hangat dimainkan pembangkang selama ini tidak pernah dihiraukan oleh pihak yang berminat untuk melabur di sini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya walaupun pembangkang sering kali menakutkan orang ramai dengan mengatakan kilang itu adalah merbahaya, namun kerajaan China tetap ghairah melabur dalam projek Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

"Kerajaan China tak pernah tanya sikit pun pasal kilang Lynas, mereka tak pernah anggap kilang Lynas adalah ancaman pada mereka.

"Sebab itu mereka berani melabur dalam MCKIP malah mereka berani meminta tanah yang paling hampir dengan kilang Lynas untuk melabur dalam projek ini, " katanya ketika berucap di majlis jamuan malam mesra komuniti Cina di Hotel Zenith di sini malam Khamis.

Najib melancarkan MCKIP di Gebeng pada 5 Feb lepas yang melibatkan nilai pelaburan RM10.5 bilion dan menawarkan 8,500 peluang pekerjaan.

Idea penubuhan MCKIP dicetuskan susulan pembukaan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia yang diberikan status kebangsaan oleh Majlis Negara China.

Najib berkata jika dahulu pembangkang bersungguh-sungguh menyebarkan fitnah kononnya operasi kilang itu membahayakan penduduk Kuantan tetapi kini situasi dilihat berlainan pula.

"Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim) ) mula-mula dulu kata kilang Lynas bahaya tapi sekarang nampaknya dia pun dah ikut kata cakap kilang itu tak bahaya.

"Dalam temu ramah dengan agensi berita Australia, beliau berkata akan sokong Lynas sekiranya terbukti kilang itu tidak merbahaya, dia pun dah mula ikut cakap kita," katanya.

Najib pada majlis itu turut mengumumkan pelepasan cukai kepada penyumbang dana untuk pembinaan sekolah menengah persendirian Chong Hwa Kuantan. "Memandangkan pelajaran adalah sesuatu yang sangat dekat di hati orang Cina, kerajaan bersetuju penyumbang dana untuk sekolah ini diberi pelepasan cukai kerana ini akan membantu pembinaan sekolah ini, selain peruntukan RM5 juta sedia ada " katanya.

Sebelum ini, Najib mengumumkan sumbangan RM3 juta iaitu tambahan kepada RM2 juta yang diberikan kerajaan sebelum ini untuk tujuan pembinaan sekolah itu.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kerajaan Barisan Nasional (BN)memberi jaminan bahawa negara ini akan menjadi lebih kuat, aman dan stabilsekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini.

"Ini bukan retorik politik kerana kita sudah tahu dalam tempoh empat tahunkita boleh melihat negara ini bertambah kuat dan makmur. "Jika diberi kepercayaan dalam masa tujuh tahun, kita boleh jadi sebuahnegara maju sepenuhnya," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan