Usia Tidak Halang Pian Hon Khidmat Kepada Rakyat

Diterbitkan: Khamis, 25 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Yap Pian Hon
Yap Pian Hon

SERDANG: Pada usia 70 tahun, Datuk Yap Pian Hon merupakan calon tertua daripada MCA dan dianggap antara paling tua yang dicalonkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum kali ini.

Bagaimanapun bagi calon kerusi Parlimen Serdang ini, usia bukan penghalang, sebaliknya semangat beliau berkobar-kobar untuk berkhidmat kepada rakyat dan merampas semula kawasan itu daripada pembangkang.

"Usia bukan faktor yang mengekang kita selagi kita mahu dan bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat. Tengok kawan kita (Pengerusi DAP Kebangsaan) Karpal Singh, beliau berkerusi roda tetapi beliau dihormati dan ini menunjukkan demokrasi di negara ini.

"Kita tidak boleh mengutuk beliau. Ada orang kata saya tua, bagaimana pula dengan calon berusia 25 tahun (merujuk kepada calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Keranji Danial Wa Wai How, calon termuda MCA)?

"Adakah beliau cukup pengalaman? Kita tidak boleh ambil kira faktor umur, selagi kita ada sikap yang betul dan ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Ahli politik veteran itu berdepan pengarah strategi pilihan raya DAP Ong Kian Ming pada hari pengundian 5 Mei ini.

Yap yang mula bertanding di kawasan Serdang pada 1969 berjaya mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya seterusnya kecuali pada 1978.

Pada 1969 beliau bertanding di situ yang merupakan kerusi DUN, atas tiket DAP namun beralih kepada BN pada 1974.

Pada 1978 beliau kalah kepada calon DAP Lee Lam Thye manakala pada pilihan raya umum 2008 Yap tidak terpilih sebagai calon. Serdang dinaikkan taraf sebagai kerusi parlimen pada 1995.

"Selepas kekalahan pada 2008 yang menyaksikan kerusi MCA hampir disapu bersih oleh lawan terutama di Selangor, saya beritahu diri sendiri bahawa saya ada dua pilihan iaitu menyerah kalah atau terus bekerja," katanya.

Walaupun tidak dicalonkan pada pilihan raya itu, beliau dengan pantas menghimpunkan semula pekerjanya dan kembali turun ke akar umbi.

"Saya segera membantu dan pusat khidmat saya menjadi pusat yang menghubungkan MCA dan komuniti. Kami tidak pernah meminggirkan penduduk setempat.

"Sejak 2008 hingga sekarang, saya telah mengadakan lebih 500 pertemuan dengan kumpulan kecil membabitkan pelbagai segmen masyarakat," kata Ketua Publisiti BN Selangor itu.

Yap yang menganggap dirinya sebagai anak jati Serdang kerana tinggal di situ sepanjang hayatnya, adalah muka yang biasa dilihat dalam kalangan penduduk.

"Kami dapat berjumpa beliau dengan mudah dan beritahu beliau masalah kami. Beliau seorang daripada penduduk di sini dan masih menolong kami walaupun tidak bertanding pada pilihan raya umum lepas," kata peniaga mi di Jalan Besar yang mahu dikenali sebagai Chin, 67.

Chin boleh dilihat mewakili cara hidup penduduk di kawasan Serdang yang rata-rata berniaga secara kecil-kecilan atau menguruskan perniagaan keluarga yang dijalankan secara tradisional.

Seorang wakil rakyat bukan sahaja perlu sentiasa ada tetapi juga menjengah mereka.

Retorik dan janji manis tidak diperlukan.

"Kami mahu orang tempatan kerana praktikal dan senang. Jika orang luar, dia tidak akan sentiasa ada di sini, jadi tidak ada gunanya. Bagaimana dan di mana kami boleh cari dia jika kami ada masalah yang perlu diselesaikan," kata Chin.

Kerusi Parlimen Serdang mempunyai 133,265 pengundi dengan 48.6 peratus berketurunan Cina.

Pengundi Melayu mencakupi 39.6 peratus manakala India 11 peratus dan bakinya kaum-kaum lain.

Pada 2008, calon DAP Teo Nie Ching mengatasi calon BN, Hoh Hee Lee daripada MCA dengan kelebihan 21,025 undi. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan