Kedah & T'gganu Umum 5 Mei Cuti Sempena PRU-13

Diterbitkan: Khamis, 25 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah pada Rabu mengumumkan cuti umum pada 5 Mei ini sempena pilihan raya umum ke-13.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata pengumuman ini dibuat bagi memudahkan penjawat awam, pekerja swasta dan rakyat Kedah keluar mengundi pada hari tersebut.

Katanya perkara itu diputuskan pada mesyuarat Exco hari ini yang diadakan khusus untuk membincangkan perkara itu dan cuti umum itu adalah berdasarkan Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan 1951.

"Orang ramai boleh keluar mengundi. Tak ada masalah lagi nak keluar mengundi atau tidak," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darul Aman di sini.

Ahad merupakan hari bekerja di Kedah.

Sementara itu di KUALA TERENGGANU, Kerajaan Negeri turut mengumumkan 5 Mei sebagai cuti umum.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, keputusan itu dibuat pada satu mesyuarat khas baru-baru ini.

"Walaupun 5 Mei jatuh pada Ahad, namun ia merupakan hari bekerja di Terengganu, dan pemberian cuti itu bertujuan memudahkan penjawat awam di negeri ini menunaikan tanggungjawab untuk mengundi," katanya selepas merasmikan bilik Gerakan Jentera Barisan Nasional (BN) Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi di sini, Rabu.

Turut hadir, calon Parlimen Setiu, Mohd Zulkifli Jusoh, Calon DUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan bekas penyandang DUN Jabi, Ramlan Ali.

Kelantan sebelum ini turut mengumumkan hari mengundi pada 5 Mei sebagai cuti peristiwa.

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan