Bapa Rayu Anak Gadis Pulang Selepas Keluar Rumah - Berita Semasa | mStar

Bapa Rayu Anak Gadis Pulang Selepas Keluar Rumah

Diterbitkan: Khamis, 25 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Seorang bapa di sini merayu anak gadisnya yang keluar meninggalkan rumah di Kampung Tawau Lama, pada malam 23 April lalu supaya kembali ke pangkuan keluarga.

Ali Pahapat, 49, berkata beliau amat bimbang tentang keselamatan anaknya, Sitti Zulinah, 15, pelajar tingkatan tiga yang mungkin mengikut teman lelakinya.

"Pada jam 10 malam hari kejadian, saya lihat dia dalam keadaan gelisah tetapi saya tidak bertanya apa sebabnya. Kira-kira 12.30 tengah malam, ketika terjaga daripada tidur, saya dapati dia hilang," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Menurut Ali, pada keesokan harinya beliau cuba menghubungi telefon bimbit Sitti Zulinah, namun panggilannya tidak berjawab.

Bagaimanapun, SMS yang dihantarnya merayu supaya anaknya itu pulang, dibalas, Sitti Zulinah dengan kata-kata "sampai bila-bila aku x (tidak) balik".

Ali berkata beliau tidak tahu kenapa anak bongsu daripada tujuh beradik itu keluar rumah kerana sebelum kejadian itu tidak berlaku sebarang perselisihan faham antara mereka.

Ali membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Tawau hari ini dan disahkan Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan