Misi Seorang Ahli Politik Veteran...

Diterbitkan: Rabu, 24 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Yap Pian Hon pernah berada dalam kedua-dua kelompok politik dan sebagai seorang daripada pemimpin peringkat akar umbi kaum Cina yang paling lama berkhidmat, beliau mempunyai misi khusus pada pilihan raya umum 5 Mei ini. Perasaannya membara apabila mendengar orang menuduh MCA, yang disertainya pada 1974 setelah meninggalkan parti pembangkang DAP, akan lenyap daripada persada politik selepas pilihan raya umum kali ini.

"Ya, memang ada sekumpulan orang yang ingin melenyapkan MCA daripada arena politik, tetapi adakah anggota peringkat akar umbi MCA akan membiarkan dengan begitu sahaja parti mereka terkubur hanya melalui satu pilihan raya?

"Saya tidak bersetuju bahawa MCA akan lenyap; majoriti anggota akar umbi berharap MCA akan terus memainkan peranannya dalam Barisan Nasional. Hak orang Cina hanya boleh dilindungi melalui kuasa politik, bukan dengan cara lain," kata Yap ketika ditemui di pusat operasinya di Seri Kembangan, yang menjadi markasnya untuk bertanding sebagai calon bagi kerusi Parlimen Serdang untuk kali kesembilan.

Menyedari saingan sengit yang dihadapi MCA pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Yap, yang kelihatan masih cergas dan bertenaga walaupun menginjak usia 70 tahun, sering mengunjungi kedai makan di kawasan Serdang, yang turut meliputi Serdang Baharu - kampung baharu kedua terbesar di negara ini, yang pengundinya terdiri daripada 49 peratus Cina dan 40 peratus Melayu.

"Kata mereka MCA tak baik, tapi itu hanya satu persepsi dan janganlah nak bercakap secara borong. Saya tanya mereka yang sedang enak menghirup kopi dan teh, siapakah yang membawa keamanan dan kestabilan kepada mereka? Ada yang menjawab ibu bapa mereka dan saya bertanya lagi, bagaimanakah ibu bapa mendapat semua itu?" kata beliau.

Yap, yang masih mengingati dengan jelas bagaimana beliau perlu mengayuh basikal sejauh 12 batu (19km) setiap hari dari Serdang, tempat tinggalnya hingga kini, untuk belajar di Sekolah Tinggi Confucian di Kuala Lumpur, berkata harapan kaum Cina adalah berbeza-beza, mengikut latar belakang pendapatan, pendidikan dan pekerjaan mereka.

"Bagi mereka dalam kategori pendapatan rendah, tiada tolak ansur bagi perkara berkaitan pendidikan Cina, termsuklah bapa saya dan 99.9 peratus orang Cina lain di kampung baharu yang menghantar anak mereka ke sekolah Cina," katanya.

Yap berkata, di samping memperjuangkan isu berkaitan sekolah Cina dan sosioekonomi, kaum Cina juga mempunyai tugas untuk menjamin keselamatan negara, keharmonian kaum dan kehidupan secara aman.

Katanya lagi, berikutan kewujudan parti politik berasaskan kaum di Malaysia ketika ini, kaum Cina yang mewakili 24 peratus penduduk negara ini, tidak mempunyai pilihan selain menyokong MCA dan BN.

"Sebagai kumpulan minoriti, kita perlu berusaha sedaya upaya melindungi hak kita di sisi perlembagaan berkaitan pendidikan dan hak-hak lain, di samping berganding bahu dengan kaum lain untuk menjadikan negara ini selamat dan aman. Jika kita mengikut haluan sendiri, siapakah yang akan menghiraukan kita? Kita hanya boleh diwakili apabila bergerak sebagai satu kumpulan," tambah beliau.

Yap juga menggesa pengundi Cina supaya berfikir dengan sedalam-dalamnya dan tidak terperangkap oleh tipu daya pembangkang, termasuk DAP, yang menggunakan isu yang dihadapi kaum itu untuk menggambarkan seolah-olah masyarakat Cina tidak menyokong BN.

"Pembangkang mempunyai ideologi berbeza, DAP dengan Malaysian Malaysia, PAS dengan 'hudud' dan PKR dengan Anwar. Jadi, bagaimanakah mereka mampu mentadbir sebuah kerajaan yang cekap di Putrajaya?" tanya beliau.

Yap menjelaskan, dalam 12 pilihan raya umum yang diadakan sejak selepas merdeka, kaum Cina memberi sokongan mereka kepada BN dalam 10 daripadanya, kecuali pada 1969 dan 2008 apabila MCA hanya memenangi 15 kerusi parlimen.

"BN juga menunjukkan ia boleh berubah. Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak mengumumkan konsep 1Malaysia dan benar-benar melaksanakan perubahan dalam bidang sosioekonomi, pentadbiran dan politik. Tetapi, tempoh empat tahun adalah terlalu singkat untuk membolehkannya membawa perubahan secara menyeluruh di negara ini.

"Lihatlah rekod pencapaiannya, cara beliau menangani masalah dan beliau turun padang untuk mendengar suara rakyat, itulah yang dikatakan kepimpinan. Kenapakah tidak boleh diberi peluang sekali lagi kepada BN untuk untuk melihat apa yang akan dilakukannya?" tegas beliau. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan