Bakal Pikul Tanggungjawab Besar Di Bandar Diraja

Diterbitkan: Rabu, 24 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Tanggungjawab sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani bukan suatu yang mudah kerana sebahagian daripada bandar Muar adalah dalam kawasan tersebut.

Bagi Datuk Zulkhairi Ahmad, ini kerana sejak diisytiharkan Bandar Maharani Bandar Diraja oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 24 November lalu, tumpuan harus lebih diberikan kerana status baharunya itu perlu dijaga.

Untuk itu, Zulkhairi, 49, berkata, penjagaan dan pemuliharaan bangunan-bangunan klasik pra dan paska kolonial harus dikekalkan antaranya bangunan kastam yang dibina pada 1909, Masjid Jamek Sultan Ibrahim (1930), Bangunan Sultan Abu Bakar (1918) dan Rumah Kediaman Senibina Belanda (1928).

Bapa kepada tiga anak itu berkata, warisan senibina agung sebelum paska merdeka itu yang masih tersergam indah pastinya akan menggamit perhatian dan lensa pelancong dan harus menjadi identiti Bandar Diraja.

Anak kelahiran Parit Jawa itu berkata, selain itu aspek kebersihan adalah perkara asas yang perlu dititikberatkan seiring dengan titah baginda yang mahukan kebersihan diutamakan.

Semua cabaran itu katanya, adalah untuk mengubah persepsi sinikal bandar ini yang digelar sebagai 'bandar pencen' atau 'bandar tidur' untuk sekian lamanya.

Untuk itu, beliau perlu berusaha keras memenangi hati 27,090 pengundi di DUN Maharani selepas lima tahun 'terlepas' daripada genggaman Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) supaya perubahan dapat dilakukan.

Beliau yang merupakan Pengarah GGSB Synergy Sdn. Bhd. bertekad menebus semula DUN Maharani daripada PAS kerana hanya dengan cara itu, bandar Muar yang diangkat statusnya sebagai Bandar Diraja akan benar-benar berubah wajah.

"Apa yang perlu dilakukan ketika ini ialah berkempen secara agresif bagi memperkenalkan diri. Saya merasakan laluan untuk berkempen mudah apabila dibantu calon Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim yang akan mempertahankan kerusinya buat penggal ketiga.

"Sambutan yang diterima sangat baik daripada semua lapisan masyarakat. Kalau nak diikutkan UMNO hanya tewas dengan majoriti 158 undi pada PRU-12," ujar suami kepada Datin Azizah Hassan, 51, itu yang kini menetap di Taman Cempaka, di sini.

Mengenai andaian pihak pembangkang di Muar yang menyatakan beliau bakal berdepan kesukaran untuk menang kerana kurang dikenali, beliau berkata, dirinya tidak mahu terperangkap dengan perang saraf dimainkan oleh pihak lawannya.

Jelasnya, dakwaan tersebut langsung tidak melunturkan semangatnya menang di DUN Maharani kerana peluang untuk menawan semula kawasan itu adalah cerah.

"Itu bukan satu isu besar kerana apa yang dilakukan ketika ini ialah berkempen secara berterusan. Kalau ini dikatakan tidak dikenali sebagai isu besar, ini sebenarnya satu kesilapan. Calon pembangkang pun pada awalnya tidak dikenali.

"Bagaimanapun itu semua tidak penting kerana saya membawa misi dan visi parti. Pengundi sudah tentu bijak menilai. Saya ada pendekatan tersendiri untuk menarik undi dan menang," katanya.

Tambahnya, penduduk Maharani tidak punya pilihan lain selain BN kerana sudah terbukti memakmur dan memajukan negara sejak 56 tahun lalu selain berharap mereka membuat pilihan bijak pada hari pembuangan undi, 5 Mei ini.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan