Polis Ingatkan PATI Tidak Terlibat Dalam PRU-13

Diterbitkan: Selasa, 23 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis mengingatkan pendatang asing tanpa izin (Pati) supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), dan tindakan tegas akan diambil jika didapati berbuat demikian.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata Pati tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti berkaitan PRU, termasuk memasang bendera atau banting parti-parti politik.

"Parti politik tidak boleh memberi subkontrak kepada orang bukan warga Malaysia bagi menjalankan kerja-kerja berkenaan," katanya pada taklimat media PRU13, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, Selasa. "Tindakan tegas akan diambil ke atas Pati berkenaan mengikut Akta Imigresen 1959/1963, sekiranya terlibat dalam PRU," katanya.

Ramli berkata rakyat Malaysia yang mengupah Pati untuk melakukan kerja berkaitan pilihan raya juga akan didakwa mengikut Peraturan Imigresen dan Akta Imigresen 1959/1963.

Menjawab soalan, Ramli berkata setakat ini tiada laporan diterima mengenai penglibatan PATI dalam aktiviti pilihan raya.

Selain itu, Ramli turut mengingatkan penyokong parti supaya tidak menampal poster atau menggantung bendera parti pada kenderaan polis.

"Ada yang nakal, mereka bukan sahaja menampal bendera partinya pada kenderaan polis, malah turut mengambil gambar dan menyebarkan kepada orang ramai bahawa polis terlibat dalam politik," katanya sambil menegaskan bahawa pihak polis tidak menyebelahi mana-mana parti politik pada PRU-13 ini.

Beliau juga berkata sebanyak 1,363 aktiviti membabitkan PRU13 berlangsung di seluruh negara semalam iaitu 545 ceramah, perjumpaan dan mesyuarat (250), kunjungan rumah ke rumah (69), kempen (181) dan lain-lain sebanyak (318).

Jumlah laporan polis yang terkumpul setakat semalam sebanyak 202 dan sebanyak 15 tangkapan dibuat semalam, termasuk enam di Pulau Penang yang melibatkan kesalahan pilihan raya.

Ramli juga meminta penyokong parti supaya tidak menyimpan senjata berbahaya termasuk pisau, kapak, parang, lembing dan keris, di tempat-tempat awam bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

"Sekiranya polis menahan sesiapa mengikut Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan sebatan jika sabit kesalahan," katanya. -BERNAMA

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan