Orang Asli Cameron Highlands Setia Pada BN - Palanivel

Diterbitkan: Selasa, 23 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Datuk Seri G. Palanivel
Datuk Seri G. Palanivel

CAMERON HIGHLANDS: Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yakin undi masyarakat Orang Asli di sini akan terus berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau berkata masyarakat Orang Asli menyedari hanya kerajaan pimpinan B Nsahaja yang mampu menjamin masa depan mereka sebagai kaum minoriti di negara ini.

"Saya sering ke sini dan hasil tinjauan mendapati masyarakat Orang Asli akan terus menyokong BN.. mereka amat menghargai usaha yang telah dilakukan oleh B Ndi sini.

"Lambang dacing sudah cukup sinonim dengan mereka, justeru ketika hari pengundian nanti, bila mereka tengok lambang dacing, saya pasti mereka akan pangkah dacing... mereka seperti "deposit selamat"," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek kepada masyarakat Orang Asli Projek Hidroelektrik Ulu Jelai, pada Selasa.

Pengundi Orang Asli di Cameron Highlands seramai kira-kira 5,000 orang.

Palanivel yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata mereka harus berpegang kepada perpaduan sedia ada memandangkan kerajaan tidak pernah lupa jasa mereka yang menyokong perjuangan BN sehingga berupaya menang setiap kali PRU.

Katanya kerajaan BN akan terus melaksanakan pelbagai kemudahan di kawasan penempatan Orang Asli di sini, selain menyalurkan lebih banyak peruntukan bagi meringankan beban mereka, jika terus diberikan mandat.

"Dulu Orang Asli semuanya duduk di rumah kampung, sekarang ada yang dah duduk rumah macam banglo, ini adalah satu pembaharuan untuk masyarat Orang Asli, malah mereka sudah peroleh pendidikan yang lebih baik dan ada yang bekerja sebagai doktor, peguam dan jurutera," katanya.

Palanivel juga yakin dapat memenangi kerusi parlimen itu dan tidak begitu gusar dengan pertarungan lima penjuru yang akan dihadapinya kali ini.

Terdahulu, pada majlis itu seramai 201 penduduk Orang Asli menerima pampasan berjumlah kira-kira RM4.4 juta sebagi ganti rugi ke atas tanaman dan harta benda yang terjejas akibat pembangunan projek Hidroelektik itu.

Naib Presiden (Bisnes Baharu & Projek Utama) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Ir Mohd Nazri Shahruddin berkata TNB telah mendapatkan khidmat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dan peruntukan sedia ada dalam Akta Bekalan Elektrik 1990 bagi mentaksir nilai pampasan.

"Termasuk hari ini, TNB telah membayar pampasan kira-kira sebanyak RM20.48 juta dalam beberapa fasa merangkumi kawasan projek Hidroelektrik dan talian penghantaran, kepada hampir 600 orang yang terlibat," katanya.

Beliau berkata TNB juga akan membina tiga kawasan penempatan semula yang menelan belanja kira-kira RM28 juta, yang akan dilengkapi kemudahan asas yang lebih baik berbanding kampung sedia ada, seperti dewan, surau, tempat rekreasi, jalan raya dan padang permainan bagi mereka yang rumahnya termasuk dalam kawasan projek.

"Kampung Susu, Kampung Giat dan Kampung Pinang akan dipindahkan ke kawasan penempatan baharu yang lebih teratur dan dilengkapi pelbagai kemudahan, bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek berkenaan," katanya.

Katanya projek Hidroelektrik itu memberi pelbagai manfaat dan faedah kepada masyarakat Orang Asli serta turut menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada mereka.

"Pada masa ini terdapat kira-kira 60 Orang Asli yang telah diambil bekerja oleh pihak kontraktor secara kontrak, tidak termasuk peluang pekerjaan dalam industri sokongan seperti penyediaan makanan dan lain-lain," katanya.

Pembinaan Projek Hidroelektrik Ulu Jelai ini meliputi dua fasa, dengan Fasa 1 bermula pada Oktober 2010 manakala Fasa 2 bermula Mac tahun ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan