Kempen Agresif, BN Tekad Rampas Maharani

Diterbitkan: Selasa, 23 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Datuk Zulkhairi Ahmad tidak akan terperangkap dengan perang psikologi lawannya dari Pas yang mendakwa dirinya sukar untuk menang kerana tidak dikenali.

Zulkhairi, 49, perkara itu bukan satu isu besar kerana apa yang dilakukan ketika ini ialah berkempen secara agresif memperkenalkan diri dan lebih penting penduduk menilainya sebagai calon BN iaitu sebuah gabungan yang sudah membawa banyak kemajuan di Maharani.

"Kalau ini dikatakan sebagai isu besar, ini sebenarnya satu satu kesilapan. Dia (calon Pas, Dr. Mohammad Taslim) pun dulunya bukan dikenali. Bagaimanapun itu semua tidak penting kerana saya membawa misi dan visi parti.

"Pengundi sudah tentu bijak menilai. Saya ada pendekatan tersendiri untuk menarik undi dan menang tetapi tidak dapat dedahkan strategi itu," katanya ketika ditemui pada Program Kasih Sayang PM di Dewan Persatuan India Muar, di sini.

Beliau berkata, melalui kempen diiringi calon Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim yang akan mempertahankan kerusinya buat penggal ketiga, sambutan yang diterima sangat baik daripada semua lapisan masyarakat.

Perkembangan tersebut katanya, membuatkannya yakin untuk mengambil semula DUN Maharani yang tewas dengan hanya majoriti 158 undi dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Tambahnya, penduduk Maharani tidak punya pilihan lain selain BN kerana sudah terbukti memakmur dan memajukan negara sejak 56 tahun lalu selain berharap mereka membuat pilihan bijak pada hari pembuangan undi, 5 Mei ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan