Ahli BN Tidak Dicalonkan Perlu Bersikap 'Gentlemen' - Rais Yatim

Diterbitkan: Selasa, 23 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JELEBU: Semua anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pimpinan peringkat bahagian yang digugur atau tidak dicalon pada pilihan raya umum ini perlu bersikap 'gentlemen' dengan terus berada dalam parti dan meneruskan perjuangan.

Ketua Umno Bahagian Jelebu Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata sikap sesetengah anggota Umno dan beberapa parti komponen BN lain yang tidak 'gentlemen' dengan mengenepikan parti dan bertanding sebagai calon bebas tidak harus dicontohi.

"Saya minta jangan seorang pun dalam Umno, dalam MIC, dalam MCA, PPP dan Gerakan keluar parti kerana itu bukan 'gentlemen'. Kita mesti lawan dalam gelanggang, ikut irama, ikut tarian," katanya semasa berucap pada majlis kenduri rakyat dan doa selamat di Kampung Gagu, di sini malam Isnin.

Beliau berkata sebagai anggota yang sayangkan parti, seharusnya perasaan buruk hati dan iri hati dibuang dan menunjukkan komitmen tinggi untuk memastikan kemenangan parti pada PRU ini.

Rais yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Jelebu dan tidak dicalonkan bagi PRU ini berkata beliau tetap akan bersama berkempen untuk calon-calon yang telah dipilih pucuk pimpinan bagi memastikan BN terus bertapak di Jelebu.

Beliau yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan turut menggesa pengundi di kawasan ini supaya berfikir matang dalam menentukan calon yang akan dipilih pada hari pengundian nanti.

Sementara itu, calon BN bagi kerusi Jelebu Zainuddin Ismail ketika ditemui selepas majlis itu berkata beliau telah banyak diajar oleh Rais tentang strategi kempen yang mampu 'menawan' hati pengundi di kawasan itu.

"Beliau telah mengajar saya untuk melakukan pendekatan dengan melakukan sentuhan 'personal' atau sentiasa mendampingi rakyat agar rakyat berasa dekat dengan kita dan mengurangkan ceramah-ceramah yang retorik," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan