Teng Yakin BN Berdisiplin Tinggi Ketika Berkempen

Diterbitkan: Isnin, 22 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pulau Pinang yakin anggota jentera BN yang menjalankan tugas sepanjang tempoh berkempen ketika pilihan raya umum ke-13 (PRU13) mempunyai disiplin yang tinggi serta tidak terlibat dengan sebarang jenayah.

Beliau berkata sejak dari peringkat awal BN telah mengingatkan anggotanya agar tidak melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak sihat serta sentiasa berdisiplin dan mengikut peraturan agar perjalanan PRU kali ini berjalan lancar.

"Kita (BN) sentiasa mengingatkan semua jentera parti agar menjaga disiplin, tidak turunkan bendera parti lain, hanya pasang bendera BN, tidak wujudkan provokasi kepada pihak penyokong lawan dengan menjerit atau sindir-menyindir.

"Mereka semua telah diingatkan supaya mengikut peraturan agar semuanya berjalan lancar, saya yakin insiden yang berlaku itu tidak melibatkan anggota jentera BN," katanya pada sidang media yang diadakan di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan 11 lelaki kerana membawa senjata berbahaya ketika memasang bendera parti di Bayan Baru dan Butterworth awal pagi tadi. Jurucakap pilihan raya polis kontinjen negeri, ACP Roslee Chik berkata pihak polis menemui sebilah kapak dan tiga bilah parang pelbagai saiz selain puluhan bendera parti dalam kereta yang dinaiki enam lelaki berusia antara 18 hingga 37 tahun di Queens Bay, Bayan Baru, pada 4.30 pagi.

Selain itu Teng berkata proses kempen yang telah masuk hari ketiga berjalan seperti yang dirancang dan sambutan yang diterima daripada pengundi sangat baik.

Beliau menjelaskan sesi berceramah sepanjang tempoh berkempen merupakan peluang terbaik bagi semua calon yang bertanding menjelaskan manifesto nasional dan negeri kepada pengundi dan penduduk setempat.

"Kita meneruskan kaedah berkempen dari rumah ke rumah kerana ia lebih berkesan, kita memang mempunyai pengalaman dan jentera yang terlatih untuk berkempen dengan cara itu, yang penting mesej yang terkandung dalam manifesto nasional dan negeri dapat disampaikan dengan jelas dan berkesan," katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai pertembungan yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh, Teng berkata kemelut itu tidak seharusnya berlaku kerana tempoh untuk memutuskan calon layak bertanding adalah panjang sebelum proses penamaan calon pada 20 April lepas.

"Krisis yang berlaku itu menunjukkan bahawa pakatan pembangkang tidak bersatu, perkara yang kecil masih tidak boleh diselesaikan," katanya.

Pada PRU kali ini berlaku pertembungan calon PAS dan PKR untuk merebut kerusi DUN itu, PAS menamakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri iaitu Mohd Yusni Md Piah manakala PKR meletakkan Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai 'Chegubard'.

DUN Sungai Acheh bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mahmud Zakaria, Chegubard (PKR) dan Mohd Yusni (PAS).

Pada PRU 2008, Mahmud memenangi kawasan DUN berkenaan dengan majoriti 250 undi mengalahkan calon PKR Dr Azhar Ahmad. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan