Pengundi Di Parlimen Kepala Batas Tidak Perlu Ragu Calon Diketengah BN

Diterbitkan: Ahad, 21 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEPALA BATAS: Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu pengundi Parlimen Kepala Batas menaruh keyakinan penuh terhadap empat calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kawasan berkenaan kerana mereka memang berkebolehan.

Abdullah yang juga penyandang Parlimen Kepala Batas, berkata tiga muka baru, termasuk calon parlimen di situ telah melalui beberapa tapisan sebelum dipilih menjadi calon.

"Jangan ragu-ragu untuk undi calon BN (parlimen Kepala Batas), saya bagi jaminan mereka semua, termasuk penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal (Datuk Roslan Saidin) berkebolehan.

"Selain itu mereka, terutama calon baharu, adalah anak tempatan yang selama ini memang buat kerja di sini, apa yang dikatakan atau dijanjikan (oleh calon) akan ditunaikan," katanya semasa merasmikan Ekspedisi Nostalgia Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini Ahad.

Turut hadir Presiden Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) Mohd Sabri Abdul Malek, calon Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, calon DUN Penaga Mohd Zain Ahmad dan Roslan.

Abdullah berharap penduduk di Kepala Batas mengundi calon BN bagi memastikan kesinambungan dan pembangunan yang dibawa BN di kawasan berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan.

"Mereka (calon) ikhlas untuk membantu rakyat di sini dan saya sangat berharap pengundi dapat memberi sokongan kepada calon agar mandat dapat diberikan kepada BN supaya parlimen ini terus membangun," katanya.

Sementara itu, katanya beliau akan menyampaikan beberapa permohonan daripada PVTTB kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan, demi kebajikan anggota persatuan berkenaan.

Beliau berkata kerajaan BN tidak pernah melupakan jasa veteran tentera dan percaya perdana menteri akan mempertimbangkan beberapa permohonan berkenaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan