Saingan Empat Penjuru di Parlimen Silam

Diterbitkan: Sabtu, 20 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LAHAD DATU: Kerusi Parlimen Silam menyaksikan perebutan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Reformasi Sabah (STAR) dan Bebas untuk pilihan raya umum 5 Mei ini.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lahad Datu di bawah kawasan Parlimen Silam pula menyaksikan persaingan empat penjuru antara BN, PKR, STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) manakala dua DUN lagi di bawah kawasan parlimen yang sama, DUN Tungku ditandingi lima penjuru dan DUN Kunak menyaksikan pertentangan enam penjuru.

Dalam keadaan Lahad Datu masih baru meninggalkan peristiwa pencerobohan pengganas pada Februari, pencalonan seramai ini dan kehadiran para penyokong di pusat penamaan calon hari ini membuktikan masyarakat di sini yakin dengan jaminan keselamatan dan menyertai seluruh negara menyokong proses PRU13.

Untuk kerusi Parlimen Silam, calon BN ialah Datuk Datu Nasrun Datu Mansur yang akan ditentang calon PKR Dr Badrulamin Bahron, Nawawie Saking (STAR) dan Dumi Masdal (Bebas).

Pengumuman pencalonan mereka dibuat oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Lahad Datu Zulkifli Nasir pada pukul 11 pagi di perkarangan pusat penamaan calon Dewan Tun Mustapha.

Parlimen Silam mempunyai seramai 51,590 pengundi terdiri daripada 39,201 Bumiputera, Cina (6,493) dan India (284).

Bagi DUN Lahad Datu, calon BN ialah Datuk Yusof Apdal yang akan ditentang calon PKR Dr Hamid Awong, Ariffin Hamid Merican (STAR) dan Ali Endu Enjil (SAPP). Kawasan itu mempunyai 25,209 pengundi.

Bagi DUN N49 Tungku, persaingan ialah antara Datuk Mohd Suhaili Said (BN), Johan Nul (STAR), Datuk Shuaib Mutalib (SAPP), Johani Abd Halim (PKR) dan Tsen Yun Fah -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan