Pemergian Aishah Ghani Satu Kehilangan Besar Buat Negara - PM

Diterbitkan: Sabtu, 20 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan pemergian veteran Umno Tan Sri Aishah Ghani sebagai kehilangan besar kepada negara.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata Allahyarham disanjung tinggi, terutama dalam memperjuangkan isu berkaitan kebajikan semua lapisan dan golongan rakyat.

Merakamkan ucapan takziah di atas pemergian tokoh negara itu, Najib berkata beliau menyanjung tinggi sumbangan dan khidmat bakti Allahyarham terhadap negara dan parti Umno.

"Bagi ahli Umno, Allahyarham patut dijadikan contoh atas kesetiaannya kepada parti apabila mengabdikan hayatnya bagi perjuangan Umno," katanya.

Aishah, 90, menghembuskan nafas terakhir pada 12.50 tengah hari di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur di sini setelah dimasukkan sejak Jumaat lepas berikutan kesihatannya yang tidak stabil.

Aishah merupakan wanita pertama Malaysia yang dilantik menjadi Senator dan wanita kedua di Malaysia yang menjawat jawatan Menteri selepas negara mencapai kemerdekaan.

Najib juga berharap keluarga Allahyarham bersabar dan tabah dalam menghadapi saat-saat sedih.

"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman," katanya.

Terdahulu, Najib menerusi Twitternya berkata jasa Allahyarham kepada negara akan sentiasa dikenang.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan