Mohd Fasiah - Aziz Bari di Parlimen Sabak Bernam - Berita Semasa | mStar

Mohd Fasiah - Aziz Bari di Parlimen Sabak Bernam

Diterbitkan: Sabtu, 20 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SABAK BERNAM: Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Abdul Aziz Bari, yang pernah mencetuskan kontroversi berhubung isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Gereja Methodist Damansara Utama, berdepan pertandingan satu lawan satu di Parlimen Sabak Bernam.

Abdul Aziz, yang mewakili PKR, akan berdepan bekas guru dan bekas Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sabak Bernam Mohd Fasiah Mohd Fakeh daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Pencalonan mereka diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Sabak Bernam Zailani Kadir di Dewan Tun Abdul Razak di sini pagi ini selepas tempoh pencalonan tamat.

Abdul Aziz pernah mencetuskan kontroversi apabila mempersoalkan secara terbuka titah peringatan Sultan Sharafuddin berhubung isu serbuan Jais di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos 2011.

Proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam berlangsung aman dengan Mohd Fasiah, 57, menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.05 pagi, diikuti Abdul Aziz, 59, kira-kira 10 minit kemudian.

Ketika ditemui, Mohd Fasiah berkata beliau yakin BN akan mempertahankan kerusi Parlimen itu dan mampu mendapat majoriti lebih besar pada pilihan raya kali ini kerana kerja parti dilaksanakan di kawasan itu sejak lima tahun lepas.

"Sebagai setiausaha Umno dan BN Sabak Bernam kita telah lama melakukan persiapan dan kerja-kerja parti dan kita yakin akan meningkatkan lagi majoriti pada PRU-13," katanya kepada Bernama di sini.

BN melalui Datuk Abd Rahman Bakri menang dengan majoriti 1,335 bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam mengalahkan calon PKR Dr Badrul Amin Bahron pada PRU 2008.

Fasiah berkata sokongan rakyat khususnya warga guru di kawasan itu telah meningkat dengan tinggi dan Kerajaan Persekutuan yang dikuasai BN tetap prihatin dengan nasib penduduk Selangor melalui pelbagai bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta bantuan awal persekolahan.

Abdul Aziz pula ketika temui berkata beliau juga yakin memenangi kerusi itu dan akan mendapat sokongan semua pihak termasuk Ketua Bahagian PKR Sabak Bernam Badrul Amin dalam kempen pilihan raya ini.

Sementara itu pertandingan satu lawan satu juga berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar melibatkan calon BN Kamarol Zaki Abdul Malik dan calon PAS Wahid Rais dan di DUN Sabak antara calon BN Abdul Halim Udin dan calon PAS Sallehen Mukhyi.

Kawasan Parlimen Sabak Bernam mempunyai 37,390 pengundi berdaftar merangkumi 30,755 pengundi Melayu, 4,693 (Cina), 1,878 (India) dan 64 (lain-lain), membabitkan dua kawasan DUN iaitu Sungai Air Tawar dan Sabak. -BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan