Bekas Setiausaha Tee Keat Tanding Kerusi Pandan - Berita Semasa | mStar

Bekas Setiausaha Tee Keat Tanding Kerusi Pandan

Diterbitkan: Sabtu, 20 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Teka-teki berhubung penyertaan bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dalam pilihan raya umum ke-13 ini akhirnya terjawab apabila beliau memilih untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pandan.

Sebaliknya, bekas setiausaha peribadinya, Allan Tan Yew Leng bertanding atas tiket Bebas di kawasan itu.

Sebelum ini, Ong menguar-uarkan dalam laman sosialnya Twitter dan Facebook untuk mendapatkan reaksi daripada penyokongnya mengenai pencalonan Bebas beliau, sekali gus menimbulkan spekulasi pelbagai pihak bahawa beliau akan bertanding atas tiket Bebas di kawasan itu.

Tan berkata keputusan ini dibuat setelah mendapat restu daripada Ong bagi meneruskan semangatnya untuk berkhidmat kepada penduduk Pandan.

"Beliau (Ong) tidak menyatakan sebab apa tidak mahu bertanding, cuma menegaskan bahawa karier politik beliau tidak terhenti begitu sahaja, malah akan terus berkhidmat untuk penduduk Pandan.

"Kami (penduduk) semua mahukan Ong bertanding namun Ong berharap ada pelapisnya yang dapat mewarisi kepimpinannya di Parlimen Pandan pada masa akan datang," kata Tan kepada pemberita sebelum proses penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya .

Tan berkata beliau baru sahaja meletakkan jawatannya sebagai setiausaha peribadi semalam setelah berkhidmat kepada Ong selama 12 tahun. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan