Pengerusi DAP Kedah Bidas Guan Eng

Diterbitkan: Jumaat, 19 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik (gambar) kecewa dengan sikap Setiausaha Agung partinya, Lim Guan Eng kerana mengarahkannya supaya tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) 5 Mei depan tanpa alasan kukuh.

Menurutnya, Lim bertindak secara tidak demokratik apabila membelakangi hasrat kepimpinan negeri dan ahli akar umbi berhubung senarai calon DAP di Kedah.

"Saya sangat kecewa dan sedih apabila diminta bersara, keputusan pemimpin DAP Pusat khususnya Guan Eng jelas tidak mencerminkan amalan demokrasi dalam parti.

"Saya tidak diberikan sebarang sebab mengapa saya diarah bersara dan digugurkan daripada terus bertanding," katanya ketika ditemui di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai penggugurannya daripada senarai calon DAP yang akan bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darul Aman yang dimenanginya pada 2008.

Kerusi Kota Darul Aman bakal ditandingi calon muka baru, iaitu Setiausaha Publisiti DAP Kedah, Dr Lim Sin Keat.

Ditanya sama ada penggugurannya mungkin disebabkan oleh sikapnya yang terlalu lantang meminta agar DAP bertanding lebih kerusi di negeri itu, Lee bagaimanapun menolak andaian itu.

"Tak tak fikir begitu. Tak salah bersuara minta untuk bertanding lebih. Pada awalnya pun kepimpinan pusat dengar permintaan ini, mereka berbincang dengan kita. Jadi saya tak pasti sebab sebenar saya digugurkan

"Saya faham mengenai hasrat untuk ketengahkan orang baru, tapi saya rasanya pada masa ini perkara itu masih awal. Saya belum bersedia untuk berundur," katanya.

Berhubung kemungkinan beliau akan bertanding sebagai calon Bebas, Lee bagaimanapun menolak kemungkinan itu.

"Tidak...tidak, saya tidak akan tanding atas tiket bebas. Saya akur dengan keputusan parti, cuma saya kecewa," katanya.

Mengulas mengenai desas-desus yang mengatakan DAP Pusat turut membuat keputusan untuk menamakan Pengerusi Dapsy Kedah, Teoh Boon Kok bertanding di DUN Derga, Lee sekali lagi melahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan berkenaan.

"Nama Teo tiada langsung dalam senarai DAP Kedah untuk dicadangkan bertanding. Kita tahu siapa dia, tahu cara dia bekerja. Tapi DAP Pusat buat keputusan sendiri.

"Teo orang yang susah dikawal, pemilihannya mungkin akan memberi kesan buruk kepada kemenangan DAP," katanya.

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan