DAP Jangan Main Isu Roket Raih Simpati

Diterbitkan: Jumaat, 19 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan DAP supaya tidak memanipulasikan isu penggunaan lambang roket kerana ia sudah pun dibenar untuk digunakan bagi mewakili mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang percubaan untuk memainkan isu tersebut dalam kempen-kempennya adalah semata-mata bertujuan meraih undi dan simpati sedangkan masalah itu sudah diselesaikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Ini sudah diputuskan (penggunaan lambang roket oleh DAP), jadi kita harap pemimpin DAP tidak memutarbelikan (fakta) atau menunjukkan rasa kasihan dan teraniaya.

"Ada juga tanggapan ini perbuatan Umno, ini hak Pendaftar Pertubuhan (ROS). Satu ketika Umno diharamkan dan bukan dihapuskan pada 1988.

"Waktu itu saya di Johor, terkejut saya Umno diharamkan tapi kita terpaksa hidupkan semula.

"Dalam kes ini bukan (DAP) diharamkan, itu maklumat yang diterima daripada ROS. Kita tidak campur tangan dalam soal DAP," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Daerah

Mengundi (PDM) Kampung Tengah, Sungai Terap, di sini Jumaat.

SPR semalam mengesahkan bahawa DAP boleh menggunakan lambang roket untuk bertanding dalam PRU-13 dan ia dibenarkan walaupun siasatan ROS berhubung keputusan pemilihan Jawatankuasa

Kerja Pusat (CEC) parti itu masih berjalan.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, perkara itu sudah dijelaskan oleh ROS dan masalah DAP sebelum ini ialah berkaitan pemilihan CEC yang dikatakan tidak sah.

Mengenai nasihat SPR supaya calon yang akan menyerahkan borang penyertaan pada hari penamaan calon pada Sabtu agar tidak datang beramai-ramai, Muhyiddin menasihatkan para penyokong menjaga tingkah laku masing-masing.

Katanya yang dicalonkan di kerusi Parlimen Pagoh, BN boleh memberi jaminan para penyokong yang mengiring calon masing-masing tidak akan melakukan sebarang kelakuan yang boleh menimbulkan ketegangan atau panas.

"Kita dalam parti ni tahulah kerana bersemangat, hendak menunjukkan menyokong kepada parti, tidak boleh duduk diam kat rumah, hendak keluar rumah juga untuk lihat apa yang berlaku. Apa yang penting suasana perlu sentiasa aman.

"Saya fikir BN boleh berikan jaminan (tidak berlaku apa-apa), jika ada pun, jumlah yang menghantar tidak ramai sehingga boleh jejaskan keamanan juga timbulkan keadaan huru hara.

Kita sedar dalam keadaan PRU yang panas, keadaan itu membimbangkan tetapi kita boleh bagi jaminan keadaan ini tidak berlaku," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan