Polis Beri Amaran Kepada Kumpulan Mahu Jelajah Kampung Bawa Dakwat

Diterbitkan: Khamis, 18 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Polis memberi amaran kepada beberapa kumpulan yang dipercayai bercadang menjelajah pelusuk negara ini untuk mencalit dakwat kekal kepada pengundi bagi mewujudkan keadaan tegang semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata walaupun kes seumpama itu belum dilaporkan berlaku namun perbuatan itu adalah sesuatu yang serius dan boleh mendatangkan kekecohan pada hari mengundi. "Kita ada terima laporan daripada pihak tertentu mengenai perkara itu dan telah mengenal pasti kumpulan itu, saya minta kumpulan itu supaya jangan melakukan perkara yang boleh mencetuskan huru hara," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat kawalan PRU13 Ibu Pejabat Kontinjen Perlis di sini, Rabu.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan yang juga Pegawai Pemantau Penugasan PRU13 bagi negeri Kedah dan Perlis serta Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron.

Beliau juga menasihati pengundi supaya jangan mempercayai dan membenarkan mana-mana individu yang ingin mencalit dakwat kekal kerana dakwat itu hanya akan dicalit pada hari mengundi sahaja.

Sementara itu Khalid berkata polis Perlis telah mengenal pasti 24 kawasan panas sekitar negeri ini antaranya Beseri, Padang Besar dan Arau.

"Bukan bermaksud akan berlaku kekecohan di kawasan itu tetapi dari segi konteks calon yang bertanding merupakan mereka yang hebat dan berkemungkinan panas semasa berkempen," katanya.

Sehubungan itu, Khalid meminta seluruh pengundi di Perlis menjalani tempoh berkempen secara berhemah dan tidak menimbulkan kekacauan.

Khalid berkata proses pilihan raya yang berlangsung hanya empat atau lima tahun sekali ini seharusnya digunakan sebaik-baiknya untuk mewujudkan kemesraan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama bagi mewujudkan sebuah negara yang rakyatnya hidup harmoni.

Beliau berkata polis Perlis juga telah bersedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan sebarang ancaman yang berkemungkinan berlaku di negeri yang mempunyai tiga Parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri itu.

Mengenai penyebaran cakera video digital (DVD) dan gambar lucah yang dikaitkan dengan pemimpin politik di Terengganu baru-baru ini, Khalid berkata polis telah merakam percakapan beberapa individu bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun menurutnya sehingga kini tiada sebarang tangkapan atau keterangan diambil terhadap individu yang bertanggungjawab mengedar DVD itu.

"Kita menasihatkan sesiapa yang menyimpan video tersebut sama ada di DVD atau telefon bimbit supaya membuang video itu," katanya.

Khamis lepas penduduk di sekitar Besut, Terengganu gempar setelah menemui sampul surat yang diletak di hadapan pagar rumah mereka mengandungi sekeping DVD serta gambar lucah. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan