Kerusi Panas Miri Mungkin Saksikan Pertarungan BN, PKR - Berita Semasa | mStar

Kerusi Panas Miri Mungkin Saksikan Pertarungan BN, PKR

Diterbitkan: Khamis, 18 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Pertarungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mungkin berlaku di Parlimen Miri apabila pengerusi PKR Miri Dr Michael Teo Yu Kheng bakal dipertaruhkan sebagai calon menentang muka baharu daripada BN Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.

Miri menjadi antara kerusi Parlimen di Sarawak yang 'memeningkan kepala' pembangkang disebabkan pertindihan tuntutan oleh PKR dan DAP setelah kedua-dua parti mendakwa mempunyai peluang lebih baik untuk menang.

Dr Teo, antara orang paling awal membeli kertas pencalonan malah sebelum pengumuman rasmi oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengesahkan beliau bertanding bagi kerusi Miri.

"Hari ini, saya berada di Kuching untuk menerima watikah dari ibu pejabat PKR untuk bertanding sebagai calon PKR bagi Miri," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Dr Teo, yang kalah tipis 58 undi kepada Datuk Lee Kim Shin bagi kerusi DU NSenadin, yakin beliau dapat memberi tentangan hebat untuk memenangi kerusi Miri, yang menjadi kubu kuat BN Miri.

Miri mempunyai sejumlah 71,287 pengundi dan tiga kerusi DUN - Pujut, Piasau dan Senadin - dalam kerusi Parlimen Miri. Pujut dan Piasau juga dimenangi oleh DAP manakala BN menguasai kerusi Senadin pada pilihan raya negeri 2011.

PKR sebelum ini mengumumkan calonnya bagi lima kerusi parlimen iaitu Batang Lupar, Saratok, Hulu Rajang, Baram dan Limbang tetapi tidak mengumumkan baki kerusi yang ingin ditandinginya berikutan pertindihan tuntutan oleh DAP dan PAS.

PKR menyuarakan hasrat untuk bertanding 12 kerusi di Sarawak namun pakatan pembangkang gagal menyelesaikan urusan pembahagian kerusi sehingga hari ini.

Bagaimanapun, bagi Miri, masalah dalaman yang dihadapi DAP dan pada masa sama, perebutan kerusi itu mungkin memberi kelebihan kepada BN pada hari pengundian 5 Mei ini.

DAP Miri turut diselubungi masalah dalaman memandangkan kepimpinan tertinggi parti itu memutuskan untuk mencalonkan Lim Su Kien bagi kerusi Parlimen Miri, sekali gus mencetuskan bantahan cawangan DAP di sini.

Ini mengakibatkan pemecatan enam daripada pemimpin akar umbi mereka di sini kerana ingkar dan berulang kali mencemarkan imej parti. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan