Dr Mazlan Bukan Lawan Mudah Bagi Anwar - Sidek Baba

Diterbitkan: Khamis, 18 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dr Mazlan Ismail
Dr Mazlan Ismail

KUALA LUMPUR: Calon yang diamanah menerajui cabaran Barisan Nasional (BN) menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum ke-13, bukan lawan mudah untuk ketua pembangkang itu, kata ilmuan dan bekas rakan karib Anwar, Datuk Dr Sidek Baba.

Sambil menyifatkan Anwar akan 'bertemu buku dengan ruas', pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata Dr Mazlan Ismail adalah seorang petanding, boleh melawan dan mempunyai latar belakang yang boleh menjadi saingan kepada Anwar.

"Apabila dia (Dr Mazlan) bersedia melawan, ia ibarat (Anwar) 'bertemu buku dengan ruas', kerana Dr Mazlan merupakan anak tempatan, seorang profesional dan amat layak. Dr Mazlan bukan lawan mudah bagi Anwar.

"Dr Mazlan dari segi imej, saya lihat ada faktor saingan pada dia, ada jiwa agama dan bekas pimpinan PAS. Dr Mazlan sudah tentu ada faktor simpati daripada orang PAS apalagi di kalangan orang Umno dan orang yang berada di tengah-tengah.

"Ini mungkin meletakkan peluang yang lebih kepada dia, memang satu yang bijaksana hantar orang yang terbaik di situ untuk menghadapi tokoh yang bercita-cita menjadi perdana menteri," katanya kepada Bernama selepas program 'Helo Malaysia' terbitan BernamaTV, malam Rabu.

BN mempertaruhkan bekas pengarah pilihan raya umum (PRU) PAS Pulau Pinang, Dr Mazlan untuk menentang Anwar pada pilihan raya umum kali ini.

Merupakan anak tempatan Permatang Pauh, Dr Mazlan, 53, memiliki Ijazah Komunikasi Elektronik daripada University of Salford, United Kingdom dan PhD dalam 'Intelectual Capital Management' daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bukan setakat itu sahaja, pengalaman Dr Mazlan di bidang korporat dengan menyandang jawatan naib presiden Telekom Malaysia sebelum ini, dilihat memberi kelebihan kepadanya.

Sidek baru-baru ini mengejutkan banyak pihak apabila meninggalkan Anwar selepas lebih 30 tahun bersahabat, tetapi beliau menjelaskan bahawa tindakannya itu dibuat atas tiga sebab - masalah keruntuhan moral, sokongan kepada pluralisme agama serta kredibiliti Anwar.

Beliau meninggalkan Anwar selepas tiga tahun membuat kajian dengan menemu bual 28 individu yang rapat dengan ketua pembangkang itu, serta membuat solat sunat Istikharah bagi memohon petunjuk.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa pakatan pembangkang harus diberi peluang untuk memimpin kerajaan, Dr Sidek berkata Malaysia bukan seperti negara Arab.

"Dalam menilai sesebuah kerajaan, kita lihat rekodnya, kita tentukan ada kesinambungan. Asas rekod prestasi di Malaysia, jika kita lihat dari segi pertumbuhan ekonomi negara adalah baik, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) baik, inflasi agak terkawal, tahun lepas sahaja, hasil dalam negara memungut RM125 bilion, jumlah agak besar, simpanan dalam negara pun ada.

"Dari segi rekod prestasi ini, dan dasar-dasar kerajaan juga memihak kepada rakyat dan jelas, dasar membangun dan memperkasakan pendidikan jelas, dasar menyantuni golongan miskin pun ada. Itu tidak berlaku di Asia Barat," katanya.

Sidek juga berkata Malaysia turut mengalami perubahan negara Islam apabila wujudnya Bank Islam, Takaful Islam, Bon Islam, Sukuk Islam, wakaf, zakat, dan tidak lama lagi akan wujud Universiti Al-Quran.

"Siapa kata kerajaan tolak Islam, yang betul katakan betul dan yang baik katakan baik...dan jika tidak benar katakan tidak benar dengan etika yang baik. Itulah cara kita," katanya.

Mengenai nasihat kepada pengundi muda yang kali pertama mengundi pada PRU13, beliau berkata proses memilih wakil rakyat tidak boleh dilakukan hanya berdasarkan kepada zahir seseorang calon itu.

"Walaupun kita tidak tahu tentang sisi peribadi seseorang itu, tetapi kebenaran lambat laun akan diketahui. Saya harap generasi muda, jangan mudah membuat keputusan, melompat dengan kenyataan mengutuk dan sebagainya.

"Cuma ingatan saya kepada orang muda yang tak kenal saya, kenalilah saya dan kenalilah Datuk Seri Anwar masa silam dan masa kini. Bila kenali saya, kita berbincang, saya ada cukup bukti untuk membuktikan benda-benda seperti ini, kerana saya membuat kajian," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan