DAP Kedah Dakwa PAS, PKR Memandai-Mandai Umum Kerusi Mereka

Diterbitkan: Khamis, 18 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pergolakan antara pakatan pembangkang di Kedah semakin ketara apabila DAP mendakwa sekutunya iaitu PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membelakangi mereka dalam isu agihan kerusi.

Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik berkata, PAS dan PKR bertindak memandai-mandai apabila mengumumkan DAP hanya akan bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Tegas Lee, DAP tidak pernah bersetuju dengan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada mereka.

"PAS dan PKR nak umum kerusi suka hati depa (mereka) lah. Tapi mengapa memandai-mandai umum kerusi DAP?

"DAP memang tak bersetuju dan kami tak pernah pun bersetuju," katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.

Pada Rabu, PAS dan PKR mengumumkan senarai calon mereka yang akan bertanding melibatkan 15 kerusi Parlimen dan 34 daripada 36 kerusi DUN pada pilihan raya umum akan datang.

Menerusi pengumuman secara bersama itu, PAS dan PKR hanya memperuntukkan dua kerusi DUN kepada DAP walaupun parti itu bertegas mahu bertanding di dua kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN.

Baki kerusi DUN yang diperuntukkan kepada DAP ialah Derga dan Kota Darul Aman.

Mengulas lanjut Lee berkata, DAP bertegas untuk bertanding lebih daripada jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada mereka.

"Kita akan bertanding lebih daripada itu...tapi jumlahnya masih belum muktamad.

"Kita masih bermesyuarat dengan kepimpinan DAP Pusat. Nanti kita akan umumkan keputusannya," kata beliau.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan