Bantah Calon BN, Md Ghazali Mahu Bertanding Tiket Bebas DUN Naning

Diterbitkan: Khamis, 18 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Seorang Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Bakri, Md Ghazali Salamon, 45, mengumumkan akan bertanding atas tiket bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Naning di sini jika Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Saipolbahri Shuib kekal dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Ketika mengumumkan pendiriannya itu di balai raya Kampung Parit Kemin, Batui 16, Air Hitam di sini petang Khamis, beliau menegaskan, keputusan itu dibuat kerana Saipolbahri yang juga Ketua Umno bahagian Bakri bukan calon yang disukai masyarakat setempat.

"Saya bertanding bukan mahu menentang BN tetapi mahu calon yang benar-benar boleh diterima dan bersedia memberi perkhidmatan kepada rakyat. Dia memegang banyak jawatan, Pengerusi NAFAS, Ketua Umno bahagian Bakri dan banyak lagi jawatan.

"Jika dia (Saipolbahri) terus kekal dicalonkan sebagai calon BN, saya akan bertanding atas tiket bebas," katanya kepada para pemberita selepas mengetuai kira-kira 40 orang ahli Umno dari 15 daripada 44 cawangan di kawasan Air Hitam membuat bantahan secara aman terhadap pemilihan Saipolbahri sebagai calon BN DUN Naning itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut siapakah calon yang diterima oleh masyarakat kawasan tersebut.

Sebelum ini, selain daripada Saipolbahri, nama Timbalan Ketua Umno bahagian tersebut, Datuk Mazlan Sabari antara yang disenaraikan sebagai calon bagi DUN Naning.

Kata Md Ghazali yang juga Pengerusi Biro Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Umno bahagian Bakri, dia bersedia menerima apa jua risiko termasuk dipecat keahlian dalam parti di atas tindakannya bertanding menentang calon BN pada PRU-13.

Yang penting tegas beliau, masyarakat kawasan DUN Naning perlukan seorang wakil rakyat yang boleh menyuarakan masalah mereka supaya didengar oleh kerajaan.

Menjawab soalan pemberita beliau mengakui ada menerima tawaran daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS supaya mewakili parti pembangkang itu dalam pilihan raya kali ini.

"Saya tidak mahu menyertai pembangkang, saya hanya tidak setuju dengan calon BN yang dicalonkan pada pilihan raya umum ini," tambahnya sambil menyatakan dia sudah membeli borang sebagai persediaan untuk mendaftar sebagai calon pada hari penamaan calon Sabtu ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan