Alor Setar Bakal Jadi Bandaraya Metropolis -Mukhriz

Diterbitkan: Khamis, 18 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Bandaraya Alor Setar bakal dijadikan sebagai sebuah bandaraya metropilis yang menjadi tumpuan ilmuan melalui penubuhan sebuah universiti penyelidikan dan pembangunan tekonologi tinggi.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata proses perubahan landskap pembangunan di ibu negeri Kedah ini akan dilaksanakan sekiranya parti itu diberi mandat untuk kembali memerintah kerajaan negeri.

"Kita nak jadikan Alor Setar sebagai bandaraya metropolis yang mempunyai daya tarikan tersendiri melalui sebuah universiti.

"BN mempunyai cadangan untuk bawa sebuah universiti teknoogi tinggi tersohor dunia ke Kedah...bagaimanapun permintaan mereka ialah supaya ia diletakkan di dalam bandar. Jadi kita mahu bandaraya ini mempunyai imej metropolis," katanya pada sidang media selepas pelancaran Akujanji BN Kedah PRU-13 di Bangunan Tunku di sini, Khamis.

Akujanji yang mengandungi tiga teras utama itu menyentuh mengenai hal ehwal agama, transmormasi ekonomi dan transformasi sosial selain memberi tumpuan secara khusus kepada 14 perkara penting.

Pada sidang media yang sama, Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata akujanji itu merupakan satu dokumen janji yang lebih jelas untuk pembangunan rakyat dan negeri dalam tempoh lima tahun.

"Kita percaya manifesto yang merangkumi 14 perkara pokok ini dilihat sebagai janji yang lebih jelas mengenai perancangan kita di Kedah," katanya.

Katanya lagi, kandungan akujanji yang dibentangkan BN pada pilihan raya kali ini juga merupakan senjata penting untuk mematahkan janj-janji kerajaan negeri pimpinan PAS sedia ada.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan