Teng Bidas Tindakan Shariff, Mohan Umum Tanding Calon Bebas

Diterbitkan: Rabu, 17 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Teng Chang Yeow
Teng Chang Yeow

GEORGE TOWN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow membidas tindakan dua pemimpin parti itu yang mengumumkan untuk bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

Beliau berkata bekas Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Seri Mohd Shariff Omar dan Penyelaras Gerakan Batu Kawan Mohan Apparoo lebih mementingkan diri sendiri daripada kepentingan parti.

"Saya akan menyerahkan kepada parti untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mereka.

"Dalam kes Mohan, dia telah keluar daripada Gerakan.

"Saya mengucapkan semoga berjaya kepada mereka pada pilihan raya umum nanti," katanya menerusi satu kenyataan media pada Rabu.

Kedua-dua pemimpin itu digugurkan daripada senarai calon di negeri masing-masing pada PRU-13.

Mohd Shariff, 65, yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, dia akan bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor atas tiket Pakatan Rakyat.

Beliau akan mendedahkan parti manakah yang diwakilinya pada hari penamaan calon, Sabtu ini.

Mohamad Shariff, adalah ahli parlimen Tasek Gelugor sebelum tempatnya diganti oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada pilihan raya 2008.

Nor Mohamed juga turut digugurkan dalam pemilihan kali ini.

Mohamad Shariff juga menegaskan yang beliau telah bersedia untuk dikenakan tindakan disiplin atau dipecat oleh Umno akibat keputusannya itu.

“Ia bukannya hukuman mati...," katanya kepada para pemberita selepas menghadiri ceramah di luar kediamannya di Tasek Gelugor lewat malam Selasa.

Mohamad Shariff menyertai politik pada tahun 1982 dan pernah menjadi anggota exco kerajaan negeri sehingga ke tahun 1990.

Beliau kemudiannya bertanding kerusi parlimen dan dilantik sebagai setiausaha parlimen Kementerian Pertanian sehingga 1995.

Selepas itu beliau sekali lagi bertanding kerusi dewan undangan negeri dan dilantik sebagai timbalan ketua menteri dari 1995 hingga 1999.

Selepas pilihan raya 2004, Shariff dilantik sebagai timbalan menteri pertanian sebelum digugurkan pada pilihanraya 2008 untuk memberi laluan kepada Nor Mohamed yang sebelum itu menyandang jawatan senator.

Pada pilihan raya kali ini, Barisan meletakkan Ketua Umno Tasek Gelugor dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Berangan, Shabudin Yahaya, 48, sebagai calon untuk kerusi Parlimen Tasek Gelugor.

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan