Saya Calon 'Penjenamaan Semula' - Othman

Diterbitkan: Rabu, 17 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Othman Abdul
Othman Abdul

ALOR SETAR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul menolak dakwaan beliau sebagai 'calon kitar semula' yang diturunkan parti itu untuk menentang Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sebaliknya Naib Presiden Majlis Bekas Wakil-wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) itu menganggap dirinya sebagai contoh calon 'penjenamaan semula' yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Bukan kitar semula...tapi saya adalah calon re-branding. Lagi pun saya mempunyai rekod yang baik di Pendang," katanya ketika ditemui di sini, Rabu.

Othman merupakan penyandang tiga penggal bagi kerusi Parlimen Pendang sejak 1986 hingga 1995.

Bagaimanapun PAS merampas kerusi berkenaan pada 1999 melalui Presidennya, Datuk Fadzil Noor tetapi dimenangi semula oleh BN pada pilihan raya kecil 2002 ekoran kematian Fadzil.

Pada PRU 2004 dan 2008, PAS memenangi kawasan itu semula melalui Dr Mohd Hayati Othman.

Othman tidak dicalonkan semula pada pilihan raya umum 2004 ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei nanti Othman bakal berhadapan dengan Mohamad atau lebih dikenali dengan panggil 'Mat Sabu' yang juga calon popular PAS.

Mengulas mengenai strateginya untuk menentang Mohamad, Othman berkata beliau akan berusaha memberi penerangan kepada rakyat mengenai isu-isu semasa yang cuba dimanipulasi pembangkang.

"Mereka (pembangkang) suka rosakkan pemikiran rakyat dengan pelbagai fakta yang tidak betul. Jadi saya akan lawan Mat Sabu dengan memberi penerangan mengenai kedudukan sebenar.

"Selain itu kita juga akan memberi penjelasan mengenai manifesto BN yang perlu dinilai untuk masa depan rakyat," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan