Jangan Ambil Tindakan Merugikan Parti Jika Tidak Dicalonkan - Zahid

Diterbitkan: Rabu, 17 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAGAN DATOH: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) yang tidak terpilih sebagai calon pilihan raya umum ke-13 supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang akan merugikan parti. Katanya adalah mustahil untuk pucuk pimpinan parti memenuhi kehendak semua pihak yang berminat untuk menjadi calon kerana kerusi yang dipertandingkan adalah terhad.

"Secara peribadi saya turut bersimpati dengan rakan-rakan yang tidak terpilih sebagai calon walaupun kita merasakan diri kita layak untuk bertanding berdasarkan kepada sokongan yang diperoleh," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Gerak Gempur Motorsikal Pemuda BN Parlimen Bagan Datoh di sini Rabu.

Beliau berharap mereka yang tidak terpilih sebagai calon tidak merajuk sehingga menutup bilik gerakan, menurunkan bendera dan bahan-bahan promosi BN.

"Kita jangan melakukan tindakan seperti menikam dari belakang atau tidak mahu keluar mengundi kerana ini bukan tindakan yang bijak," katanya. "Ini akan merugikan parti kita sendiri dan saya harap bila keadaan reda atau sejuk tidak ada tindakan memboikot oleh mereka yang kecewa kerana tidak dicalonkan," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan