PRU-13: AMK Ketereh Yakin Dapat Tarik Sokongan Anak Muda

Diterbitkan: Selasa, 16 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Angkatan Muda Keadilan cabang Ketereh yakin dapat menarik sokongan golongan muda pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketuanya, Mohd Sukirman Mustafa berkata, antara cara yang dilakukan ialah mengadakan kerjasama bagi acara konvoi bermotor, dan pastinya melibatkan penyertaan golongan muda.

"Kita menyambut baik kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Merak (Minda Evolusi Rempit Anak Muda Kelantan) untuk mengadakan acara ini.

"Ini sebagai satu sokongan anak muda yang amat diperlukan kita untuk pilihan raya. Kita harap dengan sokongan anak muda ini akan berterusan sampai bila-bila," katanya dekat sini, Isnin.

Mohd Sukirman berkata, dalam acara konvoi ini akan memperlihatkan mereka membawa risalah manifesto dan menyuarakan sokongan mereka terhadap Pakatan Rakyat.

"Merak yang merupakan satu NGO pula mengadakan kerjasama dengan AMK Ketereh sebagai sokongan kepada Pakatan Rakyat yang memerintah di Kelantan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Merak, Azaizuree Ahmad pula berkata, selain AMK, NGO itu turut mengadakan kerjasama dengan PAS di kawasan-kawasan lain di Kelantan.

Jelasnya, Konvoi Merak merupakan program jelajah yang mula bergerak sejak dua bulan lalu dan Ketereh merupakan lokasi yang ketujuh.

"Kami memulakannya di Tanah Merah, selepas itu ke Pasir Puteh, Pasir Mas, Machang, Tumpat dan Kuala Krai. Selepas Ketereh, kami akan bergerak ke Kota Baru pula.

"Ia dilakukan seminggu sekali yang akan melibatkan ahli Merak seramai 3,600 orang di seluruh Kelantan dan penyertaan mereka dalam acara konvoi ini adalah secara berperingkat mengikut kawasan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan