Ibrahim Ali Pasrah Tak Jadi Calon BN, Tetap Pertahan Kerusi Parlimen Pasir Mas

Diterbitkan: Selasa, 16 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ibrahim Ali akan mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas sebagai calon bebas.
Ibrahim Ali akan mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas sebagai calon bebas.

KOTA BARU: Datuk Ibrahim Ali pasrah apabila tidak terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) seperti yang dihajatinya tetapi nekad untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas yang disandangnya dengan bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ibrahim berkata, beliau sememangnya berharap agar dipilih menjadi calon BN untuk bertanding di Parlimen itu.

"Tetapi saya tidak disenaraikan, maknanya saya tidak diberi peluang. Walaupun saya akan bertanding di Parlimen Pasir Mas, bukan bererti saya menentang BN.

"Hal Pasir Mas ini hal terpencil kerana saya penyandang (kerusi) dan rakyat mahu saya mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas. Dan saya pula perlu berada di Dewan Rakyat bagi meneruskan agenda Melayu dan Islam," katanya kepada pemberita di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa dekat sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas apabila hasrat beliau untuk bertanding di Parlimen Pasir Mas di bawah tiket BN tidak kesampaian apabila parti itu mengumumkan Che Johan Che Pa sebagai calon mereka pada PRU-13.

Ibrahim berkata, kemungkinan sebab beliau 'dihalang' daripada bertanding atas tiket BN mungkin kerana kedudukannya sebagai Presiden Perkasa yang dilihat sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang rasis.

Beliau berkata, rakannya yang merupakan Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Nordin (penyandang kerusi Ahli Parlimen Bebas-Kulim/Bandar Baharu) dipilih untuk bertanding atas tiket BN di Shah Alam.

"Ini yang saya tidak mengerti. Kalau dikatakan saya ada kaitan dengan Perkasa, hendak dikatakan saya ini kontroversi, rakan saya ini pun kontroversi.

"Tetapi terima kasihlah kepada Datuk seri Najib Tun Razak (Pengerusi BN) kerana memilih rakan saya.

"Tetapi saya di Pasir Mas, walaupun saya sudah bekerja hampir empat tahun memimpin Perkasa, membantu kerajaan dalam menyanggah pelbagai isu dan karenah yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu, saya lantang di Dewan Rakyat bagi mempertahankan kerajaan, walaupun saya tidak terpilih, saya berterima kasih kepada Datuk Seri Najib," katanya.

Menurut Ibrahim, beliau tidak berkecil hati dengan keputusan itu dan menerimanya jika itu adalah nasibnya.

Selain Perkasa, katanya, antara sebab beliau tidak terpilih ialah terdapat pihak yang mencemburuinya.

"Pun saya tidak tahu (sebab itu) tetapi biasanya saya ini mangsa cemburu. Ada kala pemimpin-pemimpin atas (tertinggi) menerima pandangan daripada pihak-pihak tertentu," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan