PRU-13: Mustafa Ali Wajar Letak Jawatan - Mustapa

Diterbitkan: Isnin, 15 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali wajar meletak jawatan dalam parti itu kerana isu video lucah yang dikaitkan dengan beliau membabitkan soal moral dan maruah parti pembangkang itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata lazimnya pemimpin politik yang berada dalam situasi serupa akan mengambil keputusan meletak jawatan.

"Yang lebih penting ialah perlu menjaga maruah parti," katanya ketika berucap pada program bersama warga peneroka Felda di Chiku Satu dekat sini, Ahad.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri, berkata sebarang tuduhan mengaitkan Umno dengan isu itu adalah fitnah paling besar.

"Memang pemimpin pembangkang sukar menerima hakikat berhubung isu itu walaupun kita (Umno) tidak tahu menahu," katanya.

Sementara itu, Mustapa memuji sokongan kuat warga peneroka Felda Kelantan terhadap perjuangan Barisan Nasional (BN) dan berharap ia membantu membawa kemenangan kepada BN pada pilihan raya umum ke-13 di Kelantan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan