PRU-13: Kit Siang Tetap Bertanding Di Gelang Patah

Diterbitkan: Isnin, 15 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Penasihat DAP Lim Kit Siang pada Isnin berkata, beliau tetap akan bertanding bagi kerusi Parlimen Gelang Patah di Johor walaupun kawasan itu dikatakan akan menjadi 'kubur' kerjaya politiknya.

Katanya keinginan beliau bertanding di situ ialah untuk mencetuskan tsunami politik di zon selatan negara.

"Saya tidak akan tarik diri kerana ia sudah menjadi 'peperangan Johor' malah Malaysia," katanya pada sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Beliau sedar pertandingan merebut kerusi Parlimen Gelang Patah akan menjadi pertarungan antara hidup dan mati kerjaya politik beliau kerana ia kubu kuat MCA sejak 12 pilihan raya umum dan kali ini nama yang disebut akan ditentang beliau ialah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Pada PRU 2008, BN menang kerusi itu menerusi calon MCA Tan Ah Eng dengan majoriti 8,851 undi mengalahkan calon PKR Dr Zaleha Mustafa.

Lim menjadi anggota parlimen sejak 1969, mewakili beberapa kawasan parlimen di negeri Melaka, Selangor dan Pulau Pinang.

Penyandang kerusi Parlimen Ipoh Timur untuk dua penggal ini bagaimanapun pernah kalah di kawasan Bukit Bendera pada pilihan raya umum 1999 sebelum berpindah ke Ipoh Timur pada PRU2004.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan