PPP Bertanding Di Parlimen Kepong, Empat Kerusi DUN - Kayveas

Diterbitkan: Isnin, 15 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP), parti komponen Barisan Nasional (BN) pada Isnin mengesahkan bertanding satu kerusi parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

Presidennya Datuk Seri M. Kayveas berkata parti itu diperuntukkan kerusi parlimen Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan empat kerusi negeri, masing-masing satu di Melaka, Selangor, Perak dan Kelantan.

"Barisan Nasional kalah disemua lima kerusi PPP itu pada pilihan raya umum lepas (2008). Sukar, namun seseorang perlu bertanding di kerusi ini. Memperoleh lima kerusi merupakan kejayaan bagi PPP," katanya dalam mesej Tweetnya.

Pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, PPP bertanding kerusi Parlimen Taiping dan kerusi negeri Pasir Bedamar, namun tewas kedua-duanya.

Kayveas yang bertanding di Taiping, kalah kepada Nga Kor Ming daripada DAP dengan 11,298 undi.

Di Pasir Bedamar, calon PPP Lee Heng tewas kepada calon DAP, Seah Leong Peng dengan 7,914 majoriti undi.

Pada 2008, calon DAP, Dr Tan Seng Giaw menewaskan Lau Hoi Keong, BN-Gerakan di kerusi Kepong dengan majoriti 23,848 undi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan