Pertelagahan Pembangkang Manifestasi Tiada Muafakat - Muhyiddin

Diterbitkan: Ahad, 14 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SAMARAHAN: Pertelagahan pakatan pembangkang dalam pembahagian kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13)adalah manifestasi tiadanya muafakat antara mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ketidaksepakatan itu sepatutnya menjadi tanda-tanda awal kepada pengundi bahawa mereka ini tidak berkeupayaan untuk membentuk kerajaan.

Katanya setiap parti dalam pakatan pembangkang dilihat berebut bertanding banyak kerusi kononnya untuk membentuk kerajaan.

"Saya kira ini manifestasi tidak ada muafakat...masing-masing berebut kerusi, kononnya mereka fikir mereka boleh membentuk kerajaan.

"Mereka juga berebut untuk mencari kerusi lebih banyak, mungkin di sebalik itu ada idea siapa nak jadi Perdana Menteri," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Perkarangan Masjid Darul Iman, Sadong Jaya, di sini, Sabtu.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu yang mewakili Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, dan penyandang kerusi Parlimen Badang Sadong Nancy Shukri.

Muhyiddin memberikan contoh sehingga sekarang pakatan pembangkang masih belum menyelesaikan pembahagian kerusi termasuk di Sarawak.

"Ada juga kawasan mereka umumkan satu calon daripada satu parti, tetapi pihak parti lain pula marah kerana tidak dibincangkan, malahan bila ada pengumuman (calon) dibuat, kita dapat melihat reaksi daripada akar umbi penyokong parti mereka sendiri yang rasa tidak berpuas hati," katanya.

Mengenai peluang Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam PRU-13, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata berdasarkan keputusan pilihan raya negeri pada 2011, BN Sarawak dilihat tidak masalah untuk mengekalkan kemenangan.

"Selepas pilihan raya negeri pada 2011, kita tahu keputusannya yang amat kita banggakan. Itu sudah menjadi satu cerminan tentang apakah sebenarnya sikap dan pilihan rakyat Sarawak pada PRU-13.

"Saya percaya seperti negeri-negeri lain, pengundi sudah dapat melihat sendiri dengan lebih jelas tentang hasil daripada program-program transformasi yang dilaksanakan kerajaan BN memberi impak besar menerusi bentuk bantuan-bantuan seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan juga 'touch point' yang telahpun kita laksanakan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata di samping itu, kerajaan BN telah membawa banyak peluang ekonomi dan pekerjaan ke Sarawak dan hasilnya sokongan terhadap BN semakin memberangsangkan.

"Saya tidak mahu terlalu sombong buat kenyataan, tapi saya percaya setiap kali saya turun ke Sarawak, ini kali pertama selepas pelancaran Manifesto BN, dan dari segi bahasa badan, tutur kata, percakapan mereka (rakyat) begitu bersemangat menunjukkan mereka amat menyokong BN, itu satu tanda yang cukup positif dan amat menggalakkan," katanya.

Pada PRU-13, pertandingan hanya melibatkan kerusi Parlimen di Sarawak berikutan pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri telah diadakan pada 16 April 2011.

BN negeri menguasai 29 daripada 31 kerusi Parlimen manakala dua lagi milik DAP. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan