BN P. Pinang Yakin Tawan Semula Kerusi Dun Batu Uban

Diterbitkan: Ahad, 14 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban yakin mempunyai peluang cerah menawan kembali kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.

Penyelaras BN DUN Batu Uban Goh Kheng Sneah berkata keyakinan itu berdasarkan kepada sambutan rakyat yang begitu menggalakkan dalam pelbagai program 'sentuhan rakyat' anjuran BN di kawasan itu.

"Walaupun kalah pada 2008 kita tetap konsisten turun padang dekati masyarakat dan pusat khidmat kita di sini aktif serta semua aktiviti bertumpu di sini," katanya kepada pemberita ketika menghadiri sambutan hari lahir ke-100 warga emas tertua, Bedah Daud, di Kampung Batu Uban di sini Ahad.

Goh berkata beliau mengenali kebanyakan penduduk kampung di situ dan tidak melihat apa-apa perubahan baharu yang dibawa penyandang kerusi DUN Batu Uban S.Raveentharan dalam tempoh lima tahun ini.

"Menurut penduduk di sini pusat khidmat mereka pun susah nak cari. Kita dahulu ada juga bina jeti bernilai RM1 juta untuk nelayan di sini. Sekarang, nak tengok muka ADUN pun payah," katanya. Pada PRU12 2008, Goh tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan majoriti 611 undi.

Sementara itu, Bedah atau lebih dikenali sebagai 'Tok Bedah', berkata beliau begitu teruja apabila berpeluang mengundi buat kali ke-13 sejak pertama kali menunaikan tanggungjawab itu pada 1959.

Beliau yang dilahirkan pada 12 April 1913 itu aktif dalam Wanita Umno ketika zaman mudanya dahulu berbangga kerana anak dan cucunya mengikut jejak langkahnya menumpahkan kesetiaan pada parti itu.

"Arwah dua anak dan menantu tok pun aktif juga dalam Umno. Ada yang jadi ketua bahagian, ketua cawangan dan ketua wanita. Sekarang ini cucu tok ada seorang jadi ketua wanita cawangan Bukit Gelugor," katanya yang mempunyai empat orang anak.

Beliau yang berkerusi roda dan mempunyai ingatan baik itu kelihatan gembira memotong pulut kuning ulang tahunnya dan berbual mesra dengan penduduk yang menganjurkan majlis itu secara bergotong royong. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan