Bekas Wakil Rakyat PKR 'Panaskan Enjin' Pilihan Raya Di Perak

Diterbitkan: Ahad, 14 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Jamaluddin Mohd Radzi
Jamaluddin Mohd Radzi

DALAM tempoh genap tiga minggu dari sekarang sebelum tibanya hari peperangan yang dinanti-nantikan oleh rakyat, tidak ramai calon bertanding menyatakan secara terang-terangan keyakinan tinggi untuk menang walaupun mereka dianggap calon boleh menang dalam pilihan raya umum ke-13 ini.

Walau sudah banyak nama diisytiharkan bertanding, kebanyakan calon kali ini nampaknya lebih gemar memilih sikap berhati-hati apabila ditanya tentang sejauh mana keyakinan mereka untuk menang, kecuali calon-calon yang bertanding di kubu kuat mereka.

Barangkali mereka masih kurang yakin, malu-malu atau bimbang tersalah langkah yang boleh menjejaskan peluang mereka untuk menang.

Berdasarkan laporan media, blog dan portal, apabila ditanya tentang perkara ini rata-rata calon memberikan jawapan selamat dengan berkata akan menyerahkan kepada rakyat yang memegang kuasa memangkah undi untuk membuat keputusan.

Namun, dalam kesibukan nama calon bertanding diumumkan tidak kira sama ada oleh pembangkang dan calon-calon yang akan bertanding atas tiket Bebas, muncul seorang calon dari sebuah kawasan di Perak yang menunjukkan keyakinan luar biasa untuk menang.

Walaupun pernah dihimpit krisis politik dan masih baru dalam arena politik tanahair, beliau menunjukkan semangat juang yang tinggi dengan mengangkat dirinya sebagai calon boleh menang dan mampu memikat hati pengundi.

Sama ada keyakinan itu terbit setelah beliau sedar telah memberi khidmat terbaik untuk rakyat atau hanya strategi politik beliau untuk meraih undi, hanya empunya diri sahaja yang tahu.

Tanpa mengambil kira Barisan Nasional (BN) yang masih merahsiakan 'pejuang-pejuangnya' sehingga kini, keyakinan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi ini sedikit sebanyak telah mencuri perhatian ramai di Perak.

Jamaluddin dengan selamba namun masih merendah diri menyatakan keyakinan mampu mempertahankan kerusi yang dimenanginya, sama ada bertanding secara dua penjuru atau tiga penjuru.

Maksudnya, wakil rakyat Bebas ini telah bersedia sepenuhnya, sama ada bertanding di atas tiket BN, Bebas (sokong BN) untuk menentang PKR.

Status kerusi BN di Behrang bagaimanapun masih belum diputuskan walaupun MIC dikhabarkan bersetuju bertukar kerusi tersebut dengan mana-mana kerusi yang sesuai, sama ada di dalam mahupun di luar Perak.

Namun, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan bahawa calon Bebas dibenarkan menggunakan lambang BN tanpa perlu menyertai mana-mana parti komponen jika dipersetujui oleh Majlis Tertinggi BN.

Tinggalkan seketika tentang berang pembangkang kerana yang paling menarik mengenai calon ini apabila beliau turut tidak teragak-agak menetapkan angka majoriti 5,000 sekiranya bertanding secara dua penjuru (BN-PKR).

Malah beliau juga berkata angka itu berkemungkinan besar menjadi majoriti tertinggi di negeri Perak atau maksud lain beliau akan 'menang besar' sama ada bertanding mewakili BN atau sebagai calon bebas menggunakan lambang dacing.

"Kalau PKR, BN dan saya, saya yakin menang walaupun sengit. Kalau dua penjuru saya wakil BN dan lawan dengan PKR saya yakin boleh dapat majoriti lebih 5,000 undi," katanya kepada pemberita selepas membeli borang bertanding di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.

Boleh Menang Tapi Sengit

Secara logik, tidak mudah bagi Jamaluddin, untuk mempertahankan kedudukannya namun berpotensi menang atas beberapa faktor.

Ini kerana Jamaluddin, bekas ahli PKR yang menang kerusi DUN Behrang pada 2008 atas tiket parti itu bertindak mengumumkan keluar parti dan menjadi Adun Bebas yang menyokong BN pada 2009.

Turut bersama beliau keluar parti pada masa itu ialah Osman Mohd. Jailu (Changkat Jering-PKR) dan Hee Yit Fong (Jelapang-DAP)

Lumrah politik, selepas itu beliau tanpa ada pilihan perlu menangkis serangan bertalu-talu daripada anggota dan penyokong kuat PKR dan sekutunya kerana dicop sebagai salah seorang daripada individu yang membawa kepada kejatuhan pentadbiran PR di Perak.

Tidak cukup dituduh menerima bayaran daripada BN untuk keluar parti, menjelang pilihan raya kali ini, beliau tidak boleh lari daripada berdepan dengan tindakan pembangkang yang akan menyerangnya habis-habisan.

Untuk rekod, Jamaluddin pernah menjadi posmen sebelum bergelar ahli politik dan menang majoriti 1,027 undi apabila menewaskan calon BN, Datuk M. Ramasamy (MIC) pada pilihan raya umum ke-12.

Difahamkan, keyakinan tinggi beliau untuk menang besar kali ini diperolehi setelah beliau bersama BN sentiasa berkhidmat untuk rakyat sepanjang empat tahun menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

"Peringkat awal memang rakyat tolak saya. Namun, empat tahun saya berkhidmat bersama BN dengan baik dan hari ini mereka yang menolak saya telah menerima saya terutama masyarakat Cina," katanya lagi.

Status anak tempatan boleh diambil kira untuk beliau menang selain hubungan rapat dengan penduduk kampung, termasuklah masyarakat Orang Asli tempatan juga dikatakan bakal menambah undi beliau.

Hubungan ini sedikit sebanyak telah dan akan melahirkan pengikut dan penyokong setia Jamaluddin, kata seorang pengundi di situ.

Menambahkan keyakinannya apabila PKR dilihat mempunyai masalah dalaman di Behrang.

PKR dijangka meletakkan bekas pegawai kanan Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM), Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab bertanding di DUN ini.

Jasa & Pengorbanan

Dari sudut pandangan rakyat Perak secara keseluruhannya, Jamaluddin dilihat sebagai individu penting dan berjasa kerana secara tidak langsung telah menurunkan takhta kerajaan DAP di Perak yang hanya sempat dipegang selama 11 bulan.

Mana mungkin penyokong BN di Perak melupakan pengorbanannya melepaskan jawatan Exco Kerajaan Negeri sekaligus membawa kejatuhan PR di Perak.

Walaupun hanya memimpin selama satu penggal, beliau akan diingati sebagai pemimpin yang telah melepaskan rakyat Perak daripada cengkaman pemerintahan kerajaan DAP.

Jamaluddin juga dikatakan seorang wakil rakyat yang sentiasa prihatin dan mengambil berat tentang kawasannya.

Pada tahun 2008 Behrang mempunyai 18,552 pengundi dengan 57.09 peratus adalah pengundi Melayu, 23.44 peratus Cina dan 19.25 peratus India.

Apa jua senarionya, politik tetap politik.

Medan politik memperlihatkan orang-orang di dalamnya mampu dan boleh bercakap apa saja, tentang apa sahaja dan tentang sesiapa sahaja seperti yang telah dilakukan Jamaluddin.

Sama ada menang atau kecundang, tahniah kepada Jamaluddin kerana sekurang-kurangnya telah menunjukkan keyakinan dan semangatnya yang luar biasa!

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan