Raja-Raja Melayu Berkecuali Daripada Politik

Diterbitkan: Sabtu, 13 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Raja-raja Melayu tidak harus sekali-kali dilibatkan dalam kancah politik berikutan keghairahan kempen meraih undi atau bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), kata penganalisis politik.

Mereka berkata ini kerana Raja-raja Melayu dan takhta berada di atas politik kepartian dan tidak sekali-kali memihak kepada mana-mana individu atau kumpulan politik.

"Sebarang percubaan menggunakan nama Raja-raja dan Istana untuk meraih sokongan dan undi hanya akan mencemarkan kesucian institusi itu, sedangkan baginda adalah payung untuk semua rakyat," kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Perguruan Sultan Idris, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar.

Beliau berkata peringatan itu, seperti yang dititahkan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah baru-baru ini, penting kerana dalam keadaan terdesak kemungkinan terjadi individu tertentu dan parti-parti politik cenderung mengaitkan institusi Istana untuk kepentingan mereka.

Dengan merujuk kepada PRU13, Raja Dr Nazrin Shah bertitah menegaskan bahawa Raja dan takhta kekal berada di atas politik kepartian, bersifat berkecuali dan tidak memihak mana-mana kumpulan politik.

Menurut Dr Junaidy, adalah penting bagi parti-parti politik dan calon-calon mereka yang bertanding pada PRU13, yang tarikh pengundiannya ditetapkan pada 5 Mei ini, menghormati kedudukan Raja-raja Melayu pada setiap masa.

"Raja-raja berkecuali kerana segenap lapisan rakyat tanpa mengira fahaman politik mencurahkan taat setia kepada Baginda," kata Dr Junaidy kepada Bernama.

Pemerhati politik tempatan Kelantan, Zainab Yusoff pula berkata Raja-raja Melayu sentiasa berkecuali dalam hal-hal berkaitan politik dan tidaklah wajar bagi mana-mana pihak untuk mengheret kedudukan tinggi Istana ke dalam kancah politik.

"Setiap parti politik perlu menghormati hakikat ini demi menjaga kehormatan Raja-raja dan institusi Istana. Namun ada juga disebarkan desas desus kononnya pihak tertentu mendapat restu Istana, sedangkan rakyat tidak mempunyai cara untuk mengesahkannya.

"Janganlah sekali-kali, semasa ghairah berkempen, memberi gambaran salah kepada rakyat kononnya Raja atau Sultan mahukan parti ini atau parti itu yang menerajui negeri," katanya kepada Bernama.

Katanya, peranan Raja-raja Melayu dan kedudukan berkecuali mereka dalam politik adalah sesuai dengan pembahagian kuasa Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman dalam perlembagaan negara.

Prof Dr Samsul Adabi Mamat dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula berkata amalan Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan di Malaysia, Raja-raja melayu membawa imej penyatuan dan perpaduan rakyat jelata.

"Namun sekarang ada pihak yang cenderung memanipulasi titah pernyataan oleh Raja-raja seolah-olah memihak kepada mereka untuk kepentingan tertentu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata lazimnya, titah pernyataan Raja-raja Melayu adalah secara umum dan berbentuk nasihat contohnya menghendaki orang Melayu bersatu padu dan tidak sekali-kali menunjukkan kepada sesebuah parti politik.

Raja-raja Melayu juga sentiasa berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan akan merestui parti yang mendapat sokongan majoriti rakyat untuk menerajui negeri atau negara, katanya.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 28 Julai 2017 8:18 PM

Tautan Kasih Siti Saleha & Lutfi

Jumaat, 28 Julai 2017 3:00 PM

Zahid Terpaksa Kerja Keras!

Jumaat, 28 Julai 2017 12:24 PM

Atmosfera Tak Cukup Popular?

Jumaat, 28 Julai 2017 9:00 AM

#akuStar: Najwa Latif - KAMU

Khamis, 27 Julai 2017 3:00 PM

Aksi Separuh Bogel Tu Kisah Lamalah!

Khamis, 27 Julai 2017 12:30 PM

Mal Imran Artis Bermusim?

Khamis, 27 Julai 2017 9:00 AM

Panas! Hisyam Hamid & Aaron Aziz Bergaduh?

Rabu, 26 Julai 2017 3:46 PM

Saya Bukan Artis Murahan! - Elvina

Kolumnis

iklan

Iklan