PAS Kelantan Didakwa Sogok Penyokong BN Raih Undi - Awang Adek

Diterbitkan: Sabtu, 13 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: PAS Kelantan didakwa memberi sogokan kepada pengundi terutama penyokong Barisan Nasional (BN) di negeri itu bagi meraih sokongan terhadap parti mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional negeri Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Husin berkata, terdapat laporan bahawa parti pembangkang itu mula datang dari rumah ke rumah untuk memberi sogokan wang untuk mengundi.

"Jentera kita sendiri disogok dengan wang supaya mengundi mereka. Saya tahu di Bachok ada (kes) yang berlaku beberapa minggu lepas.

"Jentera itu adalah ahli jawatankuasa wanita kita yang didatangi oleh dua orang (Dewan) Muslimat PAS yang ingin memberi RM500 kepada beliau sedangkan rumahnya mempunyai bendera Barisan Nasional," katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya BN Pengkalan Chepa di sini, Sabtu.

Turut hadir ialah Pengerusi BN Parlimen Pengkalan Chepa yang Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Dali Hussin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai PAS sering menggunakan isu syurga, neraka dan rasuah sebagai modal untuk meraih sokongan pengundi.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, apabila anggotanya memberitahu bahawa dia adalah penyokong BN, ahli Dewan Muslimat PAS tersebut mengetahui tentang perkara itu dan sebab itulah tujuan mereka datang ke rumahnya.

"Dia (anggota Dewan Muslimat PAS) mahu menukarkan (undi). Barangkali RM500 boleh membeli kepercayaan dan perjuangan.

"Saya rasa masanya sudah berubah. Rakyat Kelantan bukan mudah dijual beli lagi," katanya.

Menurut Awang Adek, PAS Kelantan sebenarnya sudah tidak ada modal kerana banyak isu yang dimainkan di peringkat nasional dan negeri berpihak kepada BN.

"Isu tanah, isu kalimah Allah, isu DAP yang tidak diterima oleh rakyat Kelantan, dan isu bagaimana mereka begitu mudah menggugurkan perjuangan asal seperti Islam dan Hudud.

"Ini semua berpihak kepada kita. Rakyat mulai sedar sebenarnya PAS bukan memperjuangkan Islam tetapi sebuah parti politik yang mengejar matlamat politik.

"Akhirnya yang paling penting bagi mereka adalah kemenangan, dan ini menghalalkan mereka untuk melakukan apa jua untuk mencapai kemenangan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan