PAS Dahului Pakatan Pembangkang Umum Calon Di Sabah

Diterbitkan: Sabtu, 13 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: PAS nampaknya enggan menunggu keputusan pemimpin pakatan rakyat dalam menamakan calon yang akan bertanding di Sabah pada pilihan raya umum ke-13.

Ketika Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memuktamadkan senarai calon parti itu di Sabah berikutan pertindihan permintaan untuk beberapa kerusi tertentu di kalangan pakatan pembangkang, PAS pada Sabtu mengumumkan akan bertanding di dua kawasan parlimen dan sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu mempertaruhkan bekas Pesuruhjaya PAS negeri Hamzah Abdullah di Parlimen Batu Sapi manakala Ketua Pemuda Kalabakan Usman Madeali bagi Parlimen Kalabakan.

Beliau mengumumkan nama-nama calon parti itu di Sabah selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan beberapa calon di Pejabat Perhubungan PAS di sini.

Anwar pada sidang akhbarnya di Kota Kinabalu semalam berkata: "Keputusan mengenai pemilihan calon diputuskan oleh pemimpin-pemimpin parti pakatan pembangkang di negeri ini".

Pakatan pembangkang di negeri ini dianggotai PKR, DAP, PAS dan dua pertubuhan bukan kerajaan iaitu Angkatan Perubahan Sabah (APS) pimpinan Datuk Wilfred Bumburing dan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang diterajui Datuk Seri Lajim Ukin.

Pada pilihan raya lepas, PAS tidak meletakkan calon bagi kerusi Parlimen, manakala dua calon yang diturunkan untuk kerusi DUN iaitu Sukau dan Merotai tewas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan