Syed Hamid Albar Umum Tidak Bertanding PRU-13

Diterbitkan: Jumaat, 12 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Syed Hamid Albar
Syed Hamid Albar

KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Kota Tinggi Tan Sri Syed Hamid Albar pada Jumaat mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Menganggap kerjanya selama ini telah selesai, Syed Hamid yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, berkata telah tiba masanya untuk beliau mengundur diri dan memberi laluan kepada muka baru.

"Keputusan ini sebenarnya telah lama dibuat tetapi tidak diumumkan kerana saya perlu memastikan semua perkara adalah dalam keadaan teratur sebelum sebarang pengumuman dibuat," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya beliau telah berkhidmat di bawah tiga perdana menteri serta menjadi anggota parlimen selama lima penggal dan tempoh itu satu jangka masa yang panjang dan amat memuaskan kerana dapat berkhidmat kepada negara dan rakyat Kota Tinggi secara khasnya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan dan parti kerana telah memberi saya peluang bekerja untuk rakyat dan kepada pengundi di Kota Tinggi atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang saya berkhidmat sebagai anggota Parlimen," katanya.

Beliau berharap pengundi di Kota Tinggi akan terus memberi sokongan penuh kepada sesiapa juga yang dipilih pucuk pimpinan sebagai calon sepertimana sokongan diberikan kepada beliau sebelum ini.

Pada PRU 2008 Syed Hamid menewaskan Onn Jaafar daripada PAS dengan majoriti 18,961 undi. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan