PKR Tolak Calon PAS di DUN Labu

Diterbitkan: Jumaat, 12 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Kesepakatan pembangkang diuji lagi apabila PKR Labu mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan pakatan pembangkang meletakkan calon PAS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu di sini pada pilihan raya umum ke-13.

Penyelaras PKR Labu Mohktar Ahmad berkata keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat itu adalah satu kesilapan besar. PKR Labu menolak calon ini, katanya pada sidang media di sini Jumaat.

Rabu lalu, pembangkang mengumumkan senarai calon PAS yang akan bertanding di kerusi DUN dan Parlimen di negeri ini dan menamakan Ketua Pemuda PAS negeri Khairil Anuar Wafa di kerusi DUN Labu yang sebelum ini merupakan milik calon PKR.

Mokhtar yang merupakan calon pembangkang di kerusi DUN itu pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, mendesak kerusi itu diberikan semula kepada calon PKR, kerana menganggap parti itu lebih berhak.

Pesuruhjaya PAS negeri Mohamad Taufek Abd Ghani ketika dihubungi berkata keputusan untuk membuat pertukaran kerusi di DUN tersebut antara PKR dan PAS telah dipersetujui sejak dua tahun lalu.

Katanya terpulang kepada PAS untuk meletakkan siapa calonnya di DUN Labu.

Pada pilihan raya umum ke-12, kerusi DUN Labu yang terletak dalam kawasan Parlimen Rasah dimenangi Datuk Hashim Rusdi dari BN yang mengalahkan Mohktar dengan majoriti 1,405 undi. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan