Pertubuhan Cina Johor Sokong Kepimpinan Muhyiddin - Liow

Diterbitkan: Jumaat, 12 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LEDANG: Kebanyakan pemimpin pertubuhan-pertubuhan Cina di Johor memberi sokongan padu kepada kepimpinan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kaum Cina negeri ini menyanjung tinggi usaha yang dilakukan oleh Barisan Nasional dalam menjaga kebajikan dan kemudahan kepada rakyat.

"Saya sempat bertemu dengan pemimpin-pemimpin pertubuhan Cina di kawasan ini dan mereka menyatakan rasa terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin.

"Apa yang mereka minta telah ditunaikan oleh pihak kerajaan tanpa banyak persoalan, malah memberi bantuan dan kemudahan lebih lengkap kepada masyarakat Cina di sini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Bukit Serampang, di Durian Chondong, dekat sini, Khamis.

Turut hadir merasmikan majlis Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat.

Tambah Liow, BN akan terus memberi perkhidmatan kepada rakyat biarpun parlimen sudah dibubarkan.

Beliau turut optimis dan yakin bahawa BN mampu memberi peningkatan terhadap kemudahan dari segi pendidikan dan kesihatan setaraf negara maju.

"Lima tahun akan datang ini merupakan tahun paling penting untuk menjadikan Malaysia ke arah negara maju dalam masa tujuh tahun lagi.

"Oleh itu jika kepercayaan diberikan kepada BN untuk tempoh ini, kita berjanji memberi peningkatan dalam semua bidang," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan