Benarkah Kerusi Pendang Selamat Untuk Mat Sabu?

Diterbitkan: Jumaat, 12 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

ALOR SETAR: PAS yang mengumumkan Timbalan Presiden Mohamad Sabu atau Mat Sabu bertanding bagi kerusi Parlimen Pendang, dianggap sengaja memilih kawasan 'selamat" untuk beliau, pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini.

PAS sanggup mengetepikan penyandang Dr Hayati Othman yang telah dua penggal menjadi wakil rakyat kawasan itu untuk memastikan kemenangan Mat Sabu yang dikatakan orang kepercayaan DAP juga, dan anak kelahiran Pulau Pinang.

Namun apakah kerusi Parlimen Pendang itu benar-benar selamat untuk Mat Sabu menang selesa? Ini kerana kawasan itu mempunyai sejarah pertembungan yang cukup sengit antara Umno/Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Kawasan itu dinamakan Parlimen Pendang pada 1986 hasil daripada persempadanan semula kawasan pilihan raya. Sebelum itu kawasan berkenaan termasuk di bawah kawasan Parlimen Kota Setar Selatan.

Selama tiga penggal sejak 1986, Umno mewakili kawasan itu melalui Datuk Othman Abdul.

Bagaimanapun PAS mengambil alih pada 1999 melalui Presiden PAS Datuk Fadzil Noor tetapi dimenangi semula oleh Umno/BN pada pilihan raya kecil 2002 ekoran kematian Fadzil. Pada PRU 2004 dan 2008, PAS memenangi kawasan itu semula melalui Dr Hayati.

Faktor Dr Hayati yang masih berpengaruh dan lama berbakti di situ menyebabkan tidak semua anggota PAS gembira dengan keputusan beliau digantikan dengan Mat Sabu di Pendang.

Maka timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan penyokong dan pengundi tradisional PAS di Pendang yang mungkin boleh menjejaskan peluang Mat Sabu untuk menang selesa di situ.

Mat Sabu juga dikatakan kurang baik hubungannya dengan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Di sini, sokongan kurang padu dari kalangan penyokong Azizan, boleh memberi kesan kepada pengundian Mat Sabu.

Bagi Umno pula, untuk mengambil semula kawasan parlimen itu bukanlah tugas sukar kerana sokongan rakyat di Pendang kepada Umno dan BN masih baik, cuma pemilihan calon yang perlu diberikan perhatian.

Umno tidak ketandusan pemimpin untuk menentang Mat Sabu. Antara calon tempatan yang ada ialah wakil rakyat tiga penggal kawasan itu (1986-1995) Datuk Othman Abdul, Ketua Umno Bahagian Pendang Datuk Rozai Shafian dan Ketua Wanita Bahagian Datuk Suraya Yaacob.

Pada PRU 1999, Othman kalah kepada Fadzil dengan majoriti 2,939 undi.

Kematian Fadzil pada 18 Julai 2002 menyebabkan pilihan raya kecil diadakan dan dimenangi semula oleh Othman yang mengalahkan Dr Hayati dengan majoriti 283 undi.

Mungkin dalam keadaan sekarang, Umno juga boleh melihat semula kepada kekuatan Othman yang sekian lama mampu kekal sebagai pemimpin yang dihormati di Pendang termasuk dalam kalangan anggota PAS sendiri.

Tidak timbul isu Othman calon 'kitar semula' kerana yang penting kemenangan BN, sekali gus menjadikan 'hatrik' kekalahan Mat Sabu pada PRU setelah timbalan presiden PAS itu kalah di Kuala Kedah pada 2004 dan di Kuala Terengganu pada 2008. Rozai juga dianggap antara pemimpin lama di situ dan pernah menjadi wakil rakyat di DUN Sungai Tiang.

Walaupun dua kali tewas kepada Dr Hayati pada PRU 2004 dan 2008, selaku ketua bahagian, Rozai dilihat mempunyai pengaruh yang kuat, selain berusaha keras sejak kebelakangan ini untuk mengembalikan pengaruh Umno di kawasan parlimen itu. Ada juga ura-ura BN mahu meletakkan muka baharu di situ dan Suraya, antara ahli politik Wanita Umno yang sedang meningkat naik, disebut-sebut sebagai calon teratas dalam senarai.

Suraya sudah dua penggal berbakti kepada masyarakat Pendang selaku anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang.

Mengulas kemungkinan itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata BN akan memberikan tentangan hebat di Kedah dengan meletakkan calon yang boleh menang di kawasan-kawasan yang secara tradisinya dikuasai PAS dalam pilihan raya-pilihan raya sebelum ini, termasuk Pendang.

"Kawasan yang putih bagi mereka (pembangkang) tak semestinya hitam bagi kita (BN). Kita tetap letak calon yang boleh menang. Kita tetap berusaha dapatkan sokongan, BN tidak pernah fikir kalah sebelum masuk gelanggang walaupun di kawasan susah sekalipun," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan