Mahasiswa Yang Mendaftar Sebagai Pemilih Digalak Pulang Mengundi - Saifuddin

Diterbitkan: Khamis, 11 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Mahasiswa yang mendaftar sebagai pemilih digalak untuk pulang mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau yakin pihak institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai cara tersendiri untuk membenarkan setiap penuntutnya menunaikan tanggungjawab mereka pada 5 Mei ini.

"Bagi setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA dan IPTS) di Malaysia, nasihat kami supaya mereka menggunakan budi bicara mereka sama seperti membenarkan mahasiswa pulang pada hari-hari kebesaran.

"Saya cukup yakin apabila Suruhanjaya Pilihan Raya dah umum tarikh hari mengundi, IPT akan membuat perubahan yang bersesuaian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Persada Kencana Institut Pengajian Siswazah Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, Khamis.

Beliau berkata pihak kementerian tidak perlu mengeluarkan satu notis mengarahkan setiap IPT membenarkan mahasiswa pulang mengundi kerana pilihan raya umum bukanlah satu perkara baru.

Saifuddin berkata kerajaan juga tidak menghalang mahasiswa untuk berkempen, bagaimanapun mereka perlu bijak mengatur masa supaya tidak mengganggu proses pembelajaran mereka.

"Pada saya mereka sama juga seperti sesiapa saja yang ingin terlibat dengan kempen pilihan raya. Kalau ada kelas dia kena uruskan sendirilah. Kalau dia rasa masa tu ada kelas dan dia nak turun berkempen, pandai-pandailah dia. Kalau perlu mohon cuti, mohonlah cuti," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan