PRU-13: Polis Kenal Pasti 'Kawasan Panas' Di Perak

Diterbitkan: Rabu, 10 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Pasukan polis telah mengenal pasti beberapa kawasan yang dijangka akan menjadi 'kawasan panas' di Perak menjelang pilihan raya umum (PRU) 5 Mei ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukannya juga telah mengenal pasti mereka yang dijangka menimbulkan kekecohan sepanjang tempoh berkempen dan pada hari mengundi.

"Kita telah mengenal pasti beberapa kawasan panas yang kita jangkakan di Taiping, Sungai Siput, Ipoh Barat dan Batu Gajah.

"Kita juga telah mengenal pasti beberapa orang yang mungkin akan menimbulkan kakacauan dan kekecohan sepanjang tempoh berkempen dan hari mengundi," katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan persiapan PRU dan mendengar taklimat oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, dekat sini, Rabu.

Menurut Abdul Khalid, polis bersedia untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka ini termasuklah membuat tangkapan.

"Jangan sesekali cuba menggugat atau menimbulkan kekecohan sepanjang tempoh berkempen dan hari mengundi.

"Kami telah bersedia dan tindakan tegas akan diambil termasuklah menangkap mereka ini," tegas beliau.

Mengenai persiapan anggota polis di Perak menjelang PRU, beliau berpuas hati dengan perancangan dan persiapan termasuklah dari segi keanggotaan dan peralatan.

"Kita telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi hari penamaan calon, hari berkempen dan hari mengundi," katanya.

Terdahulu, Abdul Khalid menerima sumbangan derma berjumlah RM518,372.15 daripada pasukan polis Perak untuk Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia dan untuk wira-wira yang terkorban semasa Operasi Daulat di Lahad Datu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan