PRU-13: PAS Umum Nizar Bertanding Di Changkat Jering

Diterbitkan: Rabu, 10 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)
 Datuk Seri Nizar Jamaluddin
Datuk Seri Nizar Jamaluddin

LUMUT: PAS Perak mengumumkan bekas menteri besar Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai calon parti bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Tempat beliau di DUN Pasir Panjang akan digantikan oleh anak tempatan, Rohawati Abidin, pemimpin Dewan Muslimat kawasan dan pakar IT.

Pengumuman dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Perak Abu Bakar Hussien di Kampung Pasir Panjang, malam Selasa.

Abu Bakar berkata PAS Perak telah bersedia dengan calon-calon yang amanah dan berintegriti yang akan bertanding di 22 kerusi DUN dan tujuh kerusi Parlimen di Perak pada pilihan raya akan datang.

"PAS Perak akan membekalkan pemimpin-pemimpin berkredibiliti, berintegriti, telus dan melihat ini sebagai amanah, bukan satu peluang," katanya pada majlis perisytiharan calon PAS Perak dekat sini.

Calon-calon lain yang turut diumumkan ialah Nazri Din, DUN Kubu Gajah dan Idris Ahmad Parlimen Bukit Gantang.

Dalam pilihan raya umum lalu PAS menang dua kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN di Perak.

Kerusi-kerusi itu adalah Parlimen Bukit Gantang dan Parit Buntar manakala kerusi DUN adalah Pasir Panjang, Selinsing, Titi Serong, Gunung Semanggol, Changkat Jong dan Lubuk Merbau.

PAS akan mengumumkan senarai penuh calonnya di negeri Perak pada 18 April ini bersama PKR dan DAP.

iklan

iklan

Iklan