PRU-13: Pakatan Mampu Urus Perak Dengan 11 Bulan Pengalaman Mentadbir Jika Menang PRU - Nizar

Diterbitkan: Rabu, 10 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LUMUT: Pakatan Rakyat yakin dapat mengurus dan memulihkan pentadbiran serta kewangan negeri Perak berpandukan 11 bulan pengalaman mentadbir sebelum ini jika diberi mandat memerintah.

Bekas Adun Pasir Panjang Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin berkata, Pakatan Rakyat mempunyai kemampuan mentadbir Perak berdasarkan pemikiran anggotanya serta kajian-kajian yang telah dilakukan terhadap negeri tersebut.

"Dalam kajian Pakatan Rakyat menyatakan jika diberi mandat untuk menguruskan Perak sekali lagi kita akan jana (pendapatan) di negeri ini berpandukan 11 bulan pengalaman kami, berpandukan pemikiran yang hebat-hebat daripada gabungan PAS, Keadilan dan DAP.

"Kita akan menggembleng tenaga untuk mendapatkan hasil yang hari ini tidak dapat kita ambil kerana industri perdagangan yang hampir pupus," katanya ketika berucap pada majlis perisytiharan calon PAS Perak yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13, di Pasir Panjang, dekat sini, malam Selasa.

Pada majlis itu Nizar turut diumumkan sebagai calon PAS bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering, salah satu DUN di bawah Parlimen Bukit Gantang yang dimenanginya pada pilihan raya lalu.

Nizar yang juga bekas menteri besar Perak menjelaskan negeri itu pernah menjadi negeri terkaya di seluruh Malaysia pada awal 60-an dengan hasil bijih timahnya sebelum diambil alih oleh industri minyak.

Katanya, dengan adanya pakar-pakar teknologi dalam gabungan parti itu, seramai 24 juta rakyat di negeri Perak akan mendapat nikmat daripada kekayaan hasil bumi negeri itu dengan bijih timah yang telah dikenal pasti banyak terdapat di Kampar, Batu Gajah, Gopeng dan Tanjung Tualang.

Katanya, Pakatan Rakyat mempunyai kaedah mesra alam untuk mendapatkan hasil daripada bijih timah berbanding kaedah lama.

"Kami mempunyai pakar-pakar teknologi untuk untuk mengambil hasil mahsyur ini tanpa menjejaskan apa-apa yang ada di atas muka bumi ini," katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai kemampuan mereka menjana dana negeri dengan belanjawan tidak rasmi yang pernah dibentangkan dengan pendapatan sehingga kira-kira RM1.2bilion yang disifatkan sebagai belanjawan paling praktikal.

Katanya, pendapatan tersebut diperolehi melalui hasil-hasil pendapatan negeri seperti Felcra dan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak hanya bertahan 11 bulan sahaja apabila dua Adun PKR dan satu Adun DAP meninggalkan parti masing-masing menjadi Adun bebas.

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan