PRU-13: DAP Cuba Tarik Pengundi Cina dan Muda Di Johor - Penganalisis Politik

Diterbitkan: Rabu, 10 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Barisan Nasional (BN) masih mampu mengekalkan kekuatannya di negeri Johor biarpun Pakatan Rakyat (PR) cuba meletakkan calon berpengaruh mereka di beberapa kawasan di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Penganalisis politik Datuk Zainal Kling berkata, pengaruh Umno terhadap masyarakat melayu masih kuat seperti dahulu dan cubaan Pakatan Rakyat adalah hanya untuk menarik pengundi kaum cina serta pengundi muda di Johor.

"Mereka sedar Johor adalah negeri 'simpanan tetap' BN, Umno merupakan parti kuat dan mendapat kepercayaan masyarakat melayu di sana.

"Strategi mereka meletakkan beberapa pemimpin kaum Cina di kawasan mejoriti Cina bagi menarik undi kaum tersebut dan pengundi muda yang dilihat mahu membawa angin perubahan terhadap negeri itu melalui pilihan raya kecil di Labis dan Tenang ," katanya kepada mStar Online pada Rabu.

Tambah Zainal, kebanyakan calon daripada pihak pembangkang tertumpu di awasan bandar-bandar utama yang dipegang oleh MCA.

Bagaimanapun jelasnya, sokongan masyarakat Cina terhadap parti DAP kini tidak seperti pilihan raya sebelum ini, masyarakat Cina dilihat sudah berbelah bagi untuk mengundi parti tersebut.

"Pada umumnya kita melihat masyarakat Cina tidak seperti pada tahun 2004 dan 2008 lalu yang mana mereka sepenuhnya mengundi DAP.

"Melihat perkembangan politik di Pulau Pinang dan Selangor, mereka sudah berbelah bagi sama ada untuk mengundi DAP atau tidak, malah MCA dilihat kini lebih berani," katanya.

Namun begitu, katanya jika pembangkang berjaya melakukan perubahan dan kawasan tsunami baru kepada negeri Johor, ia merupakan petanda buruk kepada kerajaan Barisan Nasional.

"Pembangkang memang terlalu jauh untuk menumbangkan BN dalam PRU13 ini untuk menakluki Johor, namun jika mereka berjaya menawan beberapa kerusi sahaja ia memberi tanda negatif kepada negeri itu untuk masa akan datang," katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang baru-baru ini memutuskan untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah, dalam usaha pakatan pembangkang menembusi kubu kuat Barisan Nasional di Johor.

Gelang Patah, terdiri daripada 54 peratus pengundi Cina, 34 peratus Melayu dan 12 peratus India.

Ahli parlimen dan Ketua Wanita MCA Johor, Tan Ah Eng mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 8,851 undi pada 2008.

Waluapun pada PRU12, Pakatan Rakyat menang besar namun hanya satu kerusi sahaja dimenangi di Johor, iaitu di Bakri oleh Er Teck Hwa dari DAP.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan