PRU-13: Pilihan Raya Umum Terbaik, Azam SPR

Diterbitkan: Rabu, 10 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melakukan yang terbaik untuk memastikan pengendalian pilihan raya umum ke-13 (PRU13) adalah yang terbaik.

Sambil menolak tanggapan kononnya PRU13 bakal menjadi pilihan raya paling kotor, Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini berkata SPR telah membuat perancangan teliti di samping memperkenalkan banyak pembaharuan ke arah menjadikannya yang terbaik.

Antara pembaharuan yang diperkenalkan ialah pengundian awal untuk anggota polis, tentera, pengamal media dan rakyat Malaysia di luar negara serta penggunaan dakwat kekal untuk mengelak pemilih berdaftar mengundi lebih daripada sekali.

"Jika berlaku sedikit 'kotor' di sana, sini, ia bukan disebabkan oleh SPR, parti-parti politik, para penyokong mesti menghormati undang-undang, mesti mematuhi garis panduan, mesti mematuhi tata etika (pilihan raya).

"Saya harap semua parti politik, pemimpin parti politik menasihatkan anggota dan penyokong anda supaya bersikap rasional dan tidak terlalu emosional. Patuhi undang-undang, patuhi peraturan dan patuhi nasihat polis dan SPR," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPR di sini yang disiarkan secara langsung oleh RTM dan TV3.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata SPR telah memperkenalkan sekurang-kurangnya 19 perubahan untuk penambahbaikan proses pilihan raya kali ini.

Katanya, terdapat banyak undang-undang, panduan dan kod etika yang jika dipatuhi akan menghasilkan pilihan raya yang aman.

Mengulas mengenai peruntukan RM400 juta untuk mengendalikan pilihan raya umum kali ini, Abdul Aziz berkata, antara lain, ia disebabkan oleh peningkatan jumlah pengundi.

Beliau juga berkata keadaan cuaca dan tiada sebarang acara penting membabitkan semua komuniti merupakan antara faktor utama diambil kira SPR dalam menetapkan 5 Mei dan 20 April, masing-masing, sebagai Hari Pengundian dan Penamaan Calon.

"Melihat kepada tarikh itu, dapat dilihat yang ia bebas daripada sebarang acara penting. Contohnya pada 20 April, tiada acara penting membabitkan mana-mana kaum di Malaysia pada tarikh berkenaan.

"Tarikh-tarikh berkenaan mempunyai ramalan cuaca yang positif. Kita berdoa sama-sama supaya menjadi realiti," katanya.

Berdasarkan pengalaman SPR, beliau menjangkakan keputusan pertama PRU13 boleh diketahui seawal-awalnya 7.30 malam pada 5 Mei nanti. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan